NIBONG TEBAL: Selepas kira-kira tiga minggu, kebakaran di tapak pelupusan sampah Pulau Burung di sini kini hampir berjaya dipadamkan sepenuhnya.
Setakat ini, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berjaya memadamkan sebanyak 98 peratus daripada keseluruhan 11.33 hektar kawasan tapak sampah itu yang terbakar.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) dalam kenyataan di sini hari ini memaklumkan, kejayaan operasi pemadaman itu adalah hasil usaha sama pelbagai agensi Kerajaan Persekutuan dan negeri.
“Berdasarkan perkembangan semasa dan untuk memastikan sumber yang ada diuruskan secara optimum, gerak kerja pengurusan bencana akan diteruskan dan diselaraskan di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB).
“Gerak kerja agensi-agensi di lapangan juga masih diteruskan sehingga pengurusan bencana ini selesai,” katanya.
Tambahnya, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang juga akan meneruskan kerja-kerja pemantauan kualiti udara sehingga berpuas hati dan bacaan kualiti udara yang stabil diperoleh.
Dalam pada itu katanya, penduduk di sekitar daerah SPS terus dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan kesihatan diri.
“Sekiranya bergejala seperti sesak nafas dan tidak sihat, mereka dinasihatkan terus mendapatkan rawatan di klinik-klinik dan hospital berhampiran,” katanya.
Tambah kenyataan itu, sekiranya terdapat perkembangan terkini pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Seberang Perai Selatan (JPBD) SPS akan maklumkan dari semasa ke semasa.
Tapak pelupusan sampah Pulau Burung itu mula dikesan terbakar kira-kira pukul 5 petang 12 Januari lalu dan berlarutan sehingga mengeluarkan asap hitam dan tebal.
Ekoran itu, kira-kira 400 orang daripada hampir 90 buah keluarga yang tinggal berdekatan tapak tersebut terpaksa dipindahkan manakala sebanyak 10 buah sekolah turut diarahkan tutup selama tiga hari.
Operasi pemadaman sebelum ini turut dilakukan menggunakan kaedah ‘water bombing’ menggunakan dua buah helikopter dengan bantuan Unit Udara JBPM Subang dan Pulau Pinang.