PETALING JAYA: Suntikan vaksin Covid-19 melalui pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids) dibekalkan sebanyak 600 dos sehari yang akan terbahagi kepada tiga Healthcare Organisation (HCO) iaitu 200 untuk setiap satu.
Pengarah Urusan Kumpulan World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim berkata, program PICKids akan berlangsung pada pukul 8.30 pagi hingga 6 petang setiap hari.
Menurut beliau, PICKids mengambil langkah terbaik sebagai persiapan untuk mengikuti kejayaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di WTCKL sejak program imunisasi yang dilaksanakan sebelum ini.
“Kami hias dan cantikkan setiap reruai (booth) khas untuk kanak-kanak serta terdapat tiga tempat mengambil gambar dengan berlainan hiasan mengikut citarasa kanak-kanak supaya mereka berasa seronok di sini.
“Laluan, reruai dan ruangan menunggu juga berlainan, kami mengasingkan kanak-kanak dan orang dewasa yang datang mengambil vaksin di PPV Integrasi WTCKL. Jadi saya nasihatkan setiap individu mengikuti laluan ditetapkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, akhbar melaporkan, ibu bapa atau penjaga boleh membuat janji temu untuk menyertai Program PICKids dengan membuat tempahan melalui aplikasi MySejahtera bagi memudahkan mereka mendaftar janji temu vaksinasi.
Irmohizam berkata, ibu bapa perlu memastikan anak-anak mereka berada di dalam keadaan yang baik dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan sentiasa memakai pelitup muka serta menggunakancecair pembasmi kuman.
“WTCKL sentiasa bersedia untuk memberikan kerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk menjayakan PICKids dan juga PICK. Kami juga akan membantu mana yang boleh dalam memastikan program vaksinasi berjalan dengan lancar,” ujarnya.
-habis-










