4,186 jawatan tetap tambahan akan terima skim pencen - Khairy

4,186 jawatan tetap tambahan akan terima skim pencen – Khairy

- KHAIRY Jamaluddin melawat klinik senaman ketika hadir pada Majlis Pemeteraian Kerjasama Promosi Kesihatan Antara Wellness Hub Kementerian Kesihatan Malaysia dan Rakan Strategik di Wellness Hub, Bagan Pinang, Port Dickson hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Sebanyak 4,186 jawatan tetap yang ditawarkan kepada kumpulan pegawai perubatan kontrak menerusi peruntukan perjawatan tetap pada tahun ini akan diberikan skim pencen. 

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, skim tersebut ditawarkan yang dilihat lebih baik daripada caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Bagi perjawatan tetap, Kementerian Kesihatan menawarkan kumpulan pegawai perubatan kontrak seramai 4,186 jawatan tetap skim pencen yang lebih baik daripada caruman KWSP. 

“Mungkin tahun akan datang Kementerian Kesihatan akan beri caruman KWSP kerana disebabkan ia merupakan perancangan dalam jangka masa panjang. Bagi yang jawatan baharu ini mereka akan dapat pencen penuh dan tetap,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pemeteraian Kerjasama Promosi Kesihatan antara Wellness Hub Kementerian Kesihatan dan Rakan Strategik di Wellness Hub, Bagan Pinang di sini hari ini. 

Utusan Online hari ini melaporkan, kumpulan pegawai perubatan kontrak berharap peruntukan perjawatan tetap dijanjikan kerajaan bermula Jun ini akan menjadi kenyataan selain disertakan dengan caruman KWSP. 

Jurucakap Hartal Doktor Kontrak, Dr. Mustapha Kamal A Aziz berkata, caruman KWSP antara permintaan yang dimuatkan dalam memorandum Hartal Doktor Kontrak.

Kelmarin, kerajaan bersetuju mewujudkan sebanyak 8,686 jawatan tetap tambahan membabitkan pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi di Kementerian Kesihatan bermula Jun depan sehingga 2025.

Daripada jumlah itu, sebanyak 4,186 jawatan tetap tambahan akan diwujudkan pada tahun ini bagi tujuan melantik seramai 3,586 orang pegawai perubatan, 300 pegawai pergigian dan 300 pegawai farmasi.

Dalam pada itu, Khairy menjelaskan, terdapat sebanyak 29 Wellness Hub yang beroperasi sepenuhnya di seluruh negara. 

“Sebanyak 16 Wellness Hub daripada jumlah tersebut beroperasi di kawasan luar bandar manakala 13 buah beroperasi di kawasan bandar. 

“Sejak tahun 2019 sehingga kini, terdapat seramai 185,326 orang telah mendapatkan perkhidmatan Wellness Hub secara fizikal mahupun secara virtual dalam tempoh pandemik,” katanya. 

Wellness Hub merupakan pusat komuniti setempat yang menyediakan perkhidmatan kesejahteraan kesihatan yang komprehensif dan bersepadu dengan tumpuan untuk meningkatkan literasi kesihatan komuniti agar bertanggungjawab atas kesihatan diri, keluarga dan komuniti. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya