SUNGAI PETANI: Lebih 2,000 keluarga di beberapa taman perumahan di Sungai Lalang di sini buntu memikirkan masalah gangguan bekalan air yang berlarutan sejak tahun lalu.
Antara taman perumahan yang mengalami tekanan air rendah ialah Taman Bukit Bayu, Taman Seri Bayu Fasa 1, Taman Seri Bayu Fasa 2 dan Taman Bandar Baharu di sini.
Mereka mendakwa masalah tersebut telah dilaporkan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) dan pemaju projek perumahan berkenaan, namun tiada penyelesaian.
Seorang penduduk di Taman Seri Bayu Fasa 1, Ahmad Sazali Mohamad Zaini, 60, berkata, penduduk terpaksa mengangkut air dari Loji Air Tupah di Merbok sejauh 10 kilometer untuk kegunaan minuman dan memasak.
Menurutnya, dia terpaksa mengangkut air bersih tersebut dengan menggunakan kereta setiap hari.
“Sementara itu, bekalan air yang dihantar SADA dengan lori tangki digunakan untuk keperluan harian lain seperti mandi dan membasuh pakaian,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Penduduk di Taman Seri Bayu Fasa 2, Sobri Bakar, 54, pula berkata, keluarganya tidak selesa apabila bekalan air sering mengalami gangguan dari pagi hingga malam.
“Penduduk juga tidak boleh berharap sepenuhnya kepada bekalan air yang dihantar dengan lori oleh SADA kerana jadual penghantaran didapati tidak menentu,” jelasnya.
Penduduk dari taman yang sama, Rosli Harun, 52, berkata, sebuah tangki air terdapat di kawasan taman perumahan itu tetapi tidak berfungsi dengan sempurna bagi membekalkan air kepada penduduk di kawasan berdekatan.
“Pihak pemaju didapati masih tidak dapat menyelesaikan masalah gangguan bekalan air walaupun penduduk sering mengadu menghadapi gangguan bekalan air,” katanya.
Ketua UMNO Cawangan Taman Seri Bayu, Harun Yob, 62, berkata, penduduk kecewa dan marah apabila masalah gangguan bekalan air akibat tekanan air rendah masih berlarutan walaupun telah memasuki tahun 2022.
“Penduduk di kawasan taman peruahan itu sering merungut apabila air sekejap ada dan sekejap lagi tak ada (air),” jelasnya.