200 penduduk demo bantah asrama pekerja warga asing 

200 penduduk demo bantah asrama pekerja warga asing 

SEBAHAGIAN daripada lebih 200 penduduk Teluk Kumbar, Pulau Pinang berhimpun secara aman bagi mendesak Kerajaan Negeri Pulau Pinang membatalkan projek pembinaan asrama warga asing di kawasan itu segera.  - UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Lebih 200 penduduk Teluk Kumbar di sini, berhimpun secara aman hampir dua jam, hari ini bagi mendesak Kerajaan Negeri Pulau Pinang membatalkan projek pembinaan asrama warga asing di kawasan itu segera. 

Demonstrasi aman bermula pukul 2.30 petang yang diadakan berhampiran tapak binaan di Lot 1859, 1860 dan 1865 di Tingkat Teluk Kumbar itu, turut dihadiri kira-kira 20 wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), nelayan dan parti politik. 

Penduduk dilihat memegang banting tertera tulisan ‘Jangan zalim kami dengan lambakan warga asing’, ‘Bantah asrama warga asing’ dan ‘Kami tak setuju asrama warga asing’. 

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Bantahan, Datuk Prof. Emeritus Muhammad Idiris Saleh berkata, bantahan kali kedua itu diadakan selepas penduduk masih tidak mendapat sebarang maklum balas berhubung desakan pembatalan projek itu daripada kerajaan. 

Menurutnya, belum terlambat penduduk menyatakan bantahan pembinaan bangunan asrama di kawasan penempatan mereka meskipun pagar pembangunan telah dibangunkan di tapak projek terbabit. 

“Kami mahu kerajaan negeri membatalkan segera projek ini. Pemimpin tempatan bersama penduduk Teluk Kumbar akan terus membantah sekeras-kerasnya pembangunan tersebut. Projek ini hanya menguntungkan pemaju, namun memberi kesan buruk kepada penduduk tempatan. Kami akan terus berdemonstrasi selagi kerajaan negeri tidak memberikan maklum balas membatalkan  projek asrama yang dikatakan menempatkan hampir 50,000 pekerja asing,” katanya di sini hari ini. 

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz memberitahu, dua projek pembinaan asrama  warga asing termasuk di Taman Sahabat telah diluluskan oleh Jawatankuasa Pusat Setempat (OSC). 

“Yang penting kita tidak mahu wujud asrama warga asing di sini. Saya akan  bangkit semula perkara ini semasa pertemuan bersama Ketua Menteri, Chow Kon Yeow pada 20 Februari ini,” jelasnya. 

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, kira-kira 30,000 penduduk meliputi lebih lima penempatan di Teluk Kumbar di sini, merayu kerajaan negeri mencari lokasi lain bagi pembangunan tiga projek asrama yang dikatakan menempatkan hampir 50,000 pekerja asing. 

Rayuan penduduk Kampung Masjid, Kampung Nelayan, Kampung Matahari Naik, Sungai Batu, Taman Perda dan Taman Sahabat itu disuarakan dalam siri bantahan di persimpangan jalan Tingkat Teluk Kumbar. –  UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN