SUNGAI PETANI: Keseronokan 20 individu termasuk dua wanita mengadakan parti tertutup membawa padah apabila ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Darul Aman Perdana di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, mereka yang berusia 18 hingga 25 tahun itu ditahan pada pukul 3 pagi.
Beliau berkata, ketika serbuan semua suspek sedang leka berparti dan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) penjarakan fizikal.
Katanya, semua individu yang ditahan telah di bawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda untuk tindakan lanjut.
“Ujian urin telah dilakukan ke atas kesemua suspek dan mendapati enam daripada mereka positif dadah jenis Ketamin dan THC atau Tetra Hydrocannibol,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau memberitahu, kes disiasat di bawah Peraturan 16 Peraturan-peraturan Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit (PPPPPB) Pelan Pemulihan Negara (PPN) 2021 dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.