1MDB, anak syarikat dapat injunksi mareva larang Najib alih, lupus aset - Utusan Malaysia

1MDB, anak syarikat dapat injunksi mareva larang Najib alih, lupus aset

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

1MDB, anak syarikat dapat injunksi mareva larang Najib alih, lupus aset

NORLIZAH ABAS

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini melarang Datuk Seri Najib Tun Razak daripada mengalihkan, melupuskan, mengendalikan atau mengurangkan nilai asetnya di dalam negara sehingga pada nilai AS$681,000,000.

Bekas Perdana Menteri juga tidak dibenarkan mengeluarkan wang melebihi RM100,000 sebulan daripada akaunnya untuk perbelanjaan sara hidup biasa dan perbelanjaan guaman.

Perintah itu dikeluarkan oleh Pesuruhjaya Kehakiman Atan Mustaffa Yussof Ahmad dalam prosiding Zoom yang berlangsung semalam.

Mahkamah memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan injunksi mareva sebelah pihak yang dipohon oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan anak syarikatnya, Global Diversified Investment Company Limited (sebelum ini dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited).

Perintah itu berkuatkuasa sementara menunggu keputusan akhir kes saman sivil AS$8 bilion yang difailkan oleh 1MDB dan empat anak syarikatnya terhadap bekas Perdana Menteri dan bekas pengurusan kanan 1MDB.

Mengikut perintah itu, jika Najib memerlukan lebih daripada RM100,000 sebulan, beliau hendaklah mendapatkan kebenaran bertulis daripada peguam 1MDB dan Global Diversified Investment Company Limited yang bertindak sebagai plaintif pertama dan kelima dalam saman itu.

Jika tiada kebenaran bertulis diberikan, Najib boleh memohon dan mendapatkan kebenaran daripada mahkamah.

Perintah itu juga antara lain menyebut, Najib mestilah membuat pendedahan secara bertulis kepada 1MDB dan Global Diversified berhubung asetnya sehingga pada nilai AS$681,000,000, sama ada di dalam atau di luar negara, sama ada di bawah namanya sendiri atau tidak, dan sama ada milikan secara tunggal atau secara bersama defendan lain.

Beliau hendaklah memberikan nilai, lokasi dan segala maklumat aset dan maklumat itu hendaklah disahkan melalui suatu afidavit dan disampaikan kepada peguam plaintif pertama dan kelima.

Jika keseluruhan nilai bebas daripada gadaian atau apa-apa sekuriti asetnya di negara ini melebihi jumlah AS$681,000,000, Najib boleh mengalihkan atau melupuskan aset itu asalkan jumlah nilai tanpa beban kekal berjumlah tidak kurang daripada AS$681,000,000.

Perintah terbabit juga menyatakan bahawa mana-mana individu dalam prosiding ini atau sebaliknya, yang dimaklumkan mengenai perintah berkenaan tidak seharusnya membantu atau membenarkan pelanggaran perintah di mana mereka boleh dikenakan tindakan menghina mahkamah jika berbuat demikian. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya