PUTRAJAYA: Sambutan Bulan Solat Peringkat Kebangsaan 2022 terus diperhebatkan menerusi Program Usrah Bersama Anak Muda yang berlangsung di Malaysia Tourism Centre (MaTiC), Kuala Lumpur, malam tadi.
Ketua Unit Komunikasi Korporat, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Zakaria Othman berkata, program itu turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad bersama 150 anak muda.
Menurutnya, program dengan kerjasama Radio Zayan itu adalah kesinambungan daripada Sambutan Bulan Solat Peringkat Kebangsaan Bagi 2022 yang dilancarkan pada 4 Februari lalu.
“Penganjuran program secara santai ini bertujuan menarik minat golongan remaja agar dapat menghayati ibadah solat sebagai amalan fardhu bagi seorang muslim yang mukallaf.
“Program itu turut diserikan dengan acara ‘Sharing Session’ oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bertajuk ‘Kepentingan Solat Dalam Kehidupan’ yang dikendalikan Penyampai Radio Zayan, Mawi dan Anas,” katanya.
Katanya, Jakim turut berbesar hati menjemput seluruh Keluarga Malaysia untuk sama-sama mengikuti pelbagai program-program sempena Sambutan Bulan Solat Kebangsaan Tahun 2022 sepanjang bulan Rejab ini di seluruh negara. – UTUSAN










