PETALING JAYA: Seramai 13 individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol ditahan dalam operasi dijalankan sekitar ibu negara malam tadi.
Op Samseng Jalan dan Op Motosikal/Pelbagai Kesalahan oleh Unit Kuatkuasa JSPT Kuala Lumpur itu dijalankan di sekitar pusat bandar, Jalan Genting Klang, Jalan Loke Yew, Jalan Raja Laut, Jalan Tun Razak, Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) dan Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, kesemua 13 lelaki itu ditahan selepas ujian awal saringan awal pernafasan mendapati paras alkohol dalam tubuh mereka melebihi paras dibenarkan.

Menurut beliau, kesemua tangkapan berusia antara 28 hingga 50 tahun.
“Mereka dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut dan akan didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Selain itu, polis turut menahan tujuh lelaki, termasuk remaja berusia 17 hingga 22 tahun kerana menunggang motosikal secara berbahaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Sarifudin berkata, sebanyak 3,144 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan sepanjang operasi itu dengan 35 motosikal disita kerana mengubahsuai ekzos.
“Selain itu, sejumlah 10 saman turut dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kuala Lumpur ke atas 10 penunggang motosikal yang melakukan kesalahan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya.- UTUSAN ONLINE










