JOHOR BAHRU: Kesemua 26 UMNO Bahagian di negeri ini dijangka mengadakan mesyuarat khas malam ini dipercayai bagi membincangkan kemungkinan pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) dan memuktamadkan nama-nama calon.
Menurut sumber, mesyuarat UMNO Bahagian Johor Bahru yang dijadual pukul 8 malam itu dipengerusikan Tan Sri Shahrir Abdul Samad.
“UMNO Bahagian Johor Bahru akan mengadakan mesyuarat khas pada pukul 8 malam ini, dan dijangka bahagian lain juga sama. Memang itu kebiasaannya, intipati daripada mesyuarat bahagian itu kemudiannya akan dibawa ke mesyuarat peringkat negeri, esok,” ujar sumber itu kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO Johor, Datuk Seri Dr. Adham Baba hari ini hadir mempengerusikan Mesyuarat Penerangan UMNO Negeri di bangunan Ibu Pejabat UMNO Johor, di sini.
Mesyuarat yang bermula pada pukul 3 petang dan tamat tiga jam kemudian itu dihadiri kesemua 26 Ketua Penerangan UMNO Bahagian negeri ini.
Program itu mengukuhkan lagi khabar angin bahawa Johor bakal menyaksikan PRN diadakan dalam waktu terdekat ini.
Sementara itu, Dr. Adham yang ditemui selepas mesyuarat berkenaan memberitahu, mesyuarat itu sudah dirancang lebih awal.
“Mesyuarat ini membincangkan berhubung retreat diadakan Barisan Nasional (BN) pada Disember lalu selain penilaian pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
“Post mortem dibuat kerana UMNO Johor turut membantu kerja-kerja kempen di lima Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan Jasin, yang mana BN menang empat daripadanya,” ujarnya.
Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada mesyuarat berkenaan turut menyentuh pelaksanaan PRN Johor, Dr. Adham berseloroh dengan meminta soalan itu diajukan kepada Setiausaha UMNO Johor, Datuk Samsolbari Jamali. – UTUSAN ONLINE