PETALING JAYA: Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) bagi agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) perlu menunggu sehingga siasatan Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Jawatankuasa Aduan (JKA) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selesai, sebelum memanggil Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki Azam.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, Azam berhak menolak menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) bagi Agensi-Agensi Bawah Jabatan Perdana Menteri berhubung isu pemilikan sahamnya.
Katanya, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen itu memerlukan satu kelulusan sidang Parlimen atau refferal sepertimana yang disyaratkan di bawah Aturan 83(4) Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, iaitu ada suatu kes yang dirujukkan setelah mendapat kelulusan Dewan Rakyat.
“Dalam hal ini tiada sebarang perkara yang diluluskan dan dirujuk Dewan Rakyat, maka Azam bukanlah orang yang disaman untuk hadir tetapi hanya dijemput. Maka beliau boleh menolak untuk hadir.
“Malah, MCW berpendapat bahawa isu yang mahu diperbincangkan oleh Jawatankuasa Khas Pilihan Parlimen tersebut akan menimbulkan ‘subjudis’ kepada saman mahkamah yang telah dibuat oleh TSAB terhadap individu yang didakwa memfitnah beliau.
“Malah sekiranya Azam bertemu jawatan kuasa tersebut, beliau mewujudkan satu ‘bad precedent’ kepada 1.4 juta penjawat awam di Malaysia yang menyebabkan beliau dikutuk dan dikecam oleh mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Jais berkata, langkah Azam menolak cadangan bertemu jawatan kuasa tersebut bukanlah bererti beliau tidak menghormati mereka tetapi ia lebih kepada hak sebagai penjawat awam yang tertakluk kepada peraturan sedia ada.
“Ia juga satu pencerobohan kepada institusi penjawat awam di Malaysia dan status ‘Suruhanjaya’ SPRM itu sendiri.
“Semua persoalan dan perkara yang berkaitan undang-undang wajar dihormati dan diikuti oleh semua orang termasuklah Jawatankuasa Khas Parlimen itu sendiri,” katanya. – UTUSAN ONLINE