Tiga lelaki sebabkan kemalangan di Krubong terlibat dadah - Utusan Malaysia

Tiga lelaki sebabkan kemalangan di Krubong terlibat dadah

KEMALANGAN membabitkan Perodua Viva dan Proton Iswara dipandu suspek di hadapan Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Tiga suspek yang melarikan diri sehingga menyebabkan kemalangan membabitkan orang awam di hadapan Stadium Hang Jebat di sini semalam dipercayai terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, pemeriksaan dalam kereta jenis Proton Iswara dinaiki suspek menemukan satu tiub dadah dipercayai heroin.

“Kita telah menemukan satu tiub dadah dipercayai untuk kegunaan sendiri dan semakan Lesen Kenderaan Motor (LKM) juga didapati telah tamat tempoh.

“Jadi, pihak polis percaya suspek bertindak melarikan diri bagi mengelak dirinya ditahan atas kedua-dua kesalahan ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Katanya, kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana memiliki dadah, Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam dan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.

Terdahulu media melaporkan, polis memburu tiga suspek lelaki yang melarikan diri menaiki kereta Proton Iswara sehingga menyebabkan kemalangan membabitkan orang awam di Krubong di sini, semalam.

Suspek telah dikesan dalam keadaan mencurigakan oleh sepasukan Unit Kereta Peronda (MPV) yang membuat rondaan di kawasan Alor Gajah.

Ketika pemeriksaan ingin dilakukan, kereta tersebut memecut laju sehingga ke Krubong sebelum melanggar sebuah Perodua Viva di hadapan Stadium Hang Jebat kira-kira pukul 7 malam.

Ketiga-tiga suspek kemudian melarikan diri sejauh 300 meter melalui kawasan semak di kawasan berhampiran, manakala pemandu Viva yang merupakan seorang wanita hanya mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Pasukan polis masih menjalankan operasi menjejaki suspek termasuk menggunakan Unit Anjing Pengesan (K9).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN