PETALING JAYA: Tiga anggota polis Unit Ronda Bermotosikal (URB) ditahan selepas dipercayai melakukan pemerasan terhadap seorang lelaki di tepi Jalan Persiaran dan Dataran Pandan Prima, dekat sini semalam.
Kesemua anggota polis berusia antara 36 hingga 44 tahun yang bertugas di Balai Polis Ampang itu ditahan kira-kira pukul 2 petang.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, hasil siasatan awal mendapati, lelaki berusia 30 tahun yang bekerja sebagai ejen penjual kenderaan ketika itu sedang memandu kereta kira-kira pukul 11.30 pagi kelmarin sebelum ditahan di lokasi kejadian.
Kata beliau, tiga anggota polis terbabit kemudian membuat pemeriksaan telefon bimbit mangsa sebelum mendakwa dia memiliki kesalahan atas pemilikan sesuatu dokumen.
“Anggota terbabit kemudian meminta sejumlah wang tunai bagi menyelesaikan masalah itu menyebabkan mangsa yang ketakutan menyerahkan wang secara tunai dan secara pindahan dalam talian melalui akaun bank atas nama seorang lelaki,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Mohamad Farouk, modus operandi digunakan iaitu dengan mengesan mangsa dan membuat pemerasan dengan meminta wang sebagai jaminan tiada penahanan dilakukan.
Jelasnya, pihaknya juga kini sedang mengesan suspek yang masih bebas terutama pemilik akaun itu.
“Soal siasat masih dijalankan terhadap suspek atas pembabitan kes ini dan kes lain yang mempunyai modus operandi sama.
“Suspek berkhidmat sebagai anggota polis melebihi 10 tahun dan tiada rekod dadah serta tatatertib. Mereka direman empat hari hingga Ahad ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan,” jelasnya.
Tambah beliau, pihaknya tidak berkompromi dengan mana-mana pegawai dan anggota polis yang melakukan kes jenayah.
“Kita sentiasa bersikap adil dalam menjalankan siasatan dan pendakwaan terhadap mereka yang terbabit.
“Orang ramai yang pernah menjadi mangsa kes seumpama ini diminta tampil untuk membuat laporan polis,” katanya. – UTUSAN ONLINE