Tidak kemas kini status penerimaan vaksin, doktor jual sijil palsu direman lagi - Utusan Malaysia

Tidak kemas kini status penerimaan vaksin, doktor jual sijil palsu direman lagi

DOKTOR klinik swasta yang dipercayai menjual sijil vaksinasi Covid-19 palsu direman lagi di Mahkamah Majistret Marang di Marang, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Doktor klinik swasta yang dipercayai menjalankan penjualan sijil vaksinasi Covid-19 palsu direman lagi hari ini.

Perintah reman sehingga esok itu dikeluarkan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda di Mahkamah Majistret Marang, di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden M. Zambri Mahmud berkata, suspek utama yang berusia 51 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Katanya, doktor itu ditahan di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu kira-kira pukul 12 tengah hari semalam, kurang 24 jam dibebaskan dengan jaminan polis bagi reman terdahulu.

“Penahanan suspek dibuat susulan laporan polis oleh seorang pengadu di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Marang pada 12 Januari lalu.

“Mangsa mendakwa status penerimaan vaksinasi Covid-19 miliknya pada aplikasi MySejahtera tidak dikemas kini dalam tempoh 14 hari walaupun pembayaran berjumlah RM450 sudah dibuat kepada doktor berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

M. Zambri berkata, setakat ini polis sudah menerima dua laporan mengenai penipuan sijil vaksinasi Covid-19 palsu itu dengan masing-masing di IPD Marang dan Balai Polis Gong Badak, Kuala Nerus. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN