KUCHING: Kecenderungan Perdana Menteri Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob mengekalkan kabinet sedia ada dan tidak mahu membuat rombakan adalah disebabkan hanya ada tempoh kurang 18 bulan sebelum Parlimen dibubar dan pilihan raya umum (PRU) diadakan, kata penganalisis politik dari Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi.
Menurut Awang Azman, pengekalan Kabinet adalah untuk beliau menjaga hati semua Ahli Parlimen yang telah dilantik Jemaah Menteri.
Mengenai jawatan timbalan perdana menteri dari Sarawak, Awang Azman berkata perkara itu hanya akan berlaku jika ada pelantikan dua TPM, iaitu satu kuota Bersatu dan satu kuota untuk Gabungan Parti Sarawak (GPS).
“Namun ini dilihat sebagai langkah membazir dan sekadar bersikap balas budi.
“Saya fikir rakyat Sarawak lebih suka melihat peruntukan pembangunan yang lebih besar untuk Sarawak termasuk peruntukan pembangunan dalam Rancangan Malaysia Ke- 12, cukai jualan dan perkhidmatan (SST) Sarawak terhadap Petronas diteruskan setiap tahun, isu hak Sarawak tidak dipinggirkan dan infrastruktur Sarawak lebih diutamakan.
“Apalah guna memegang jawatan TPM dari Sarawak kerana lebih dilihat manfaat seorang individu sahaja berbanding keperluan peruntukan pembangunan untuk rakyat Sarawak secara menyeluruh,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Namun, katanya sudah pasti GPS mahu mendapat perwakilan yang lebih wajar jika berlaku rombakan kabinet.
Bagaimanapun, katanya mereka perlu faham jumlah anggota kabinet yang terlalu besar masa kini pun sudah menimbulkan kritikan rakyat.
“Malah ada yang mahu dikecilkan bagi tujuan penjimatan kos akibat ekonomi yang teruk dan berfokus serta mengutamakan mereka yang berprestasi tinggi.
“Ia sepatutnya bukan sekadar Kabinet membalas budi dan terima kasih menyokong Perdana Menteri sedia ada, sebaliknya Kabinet mesti berorientasikan prestasi dan impak tinggi terhadap kesejahteraan rakyat,” tambah Awang Azman.
Kepada soalan lain, Awang Azman berkata pelantikan seorang timbalan perdana adalah tidak perlu.
Menurut Awang Azman, dengan timbulnya kritikan terhadap prestasi Kabinet dalam menangani isu banjir, Covid-19 dan pemulihan ekonomi, rombakan atau pengecilan boleh jadi pilihan masa kini, tetapi tidak menambah jawatan baharu seperti jawatan timbalan perdana menteri.
“Ini kerana jika diwujudkan (jawatan TPM) seolah-olah membenarkan persepsi awam bahawa jawatan menteri kanan yang sedia ada kurang berprestasi,” katanya.-UTUSAN ONLINE