Sumila fasih bahasa Melayu, Mandarin - Utusan Malaysia

Sumila fasih bahasa Melayu, Mandarin

KERATAN laporan Utusan Malaysia semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Biarpun berkelana selama 66 tahun di Beijing, China, anak komunis Melayu terakhir, Sumila Mat Jamil, 66, tetap fasih berbahasa Melayu.

Sumila yang pulang ke Malaysia dan sedang dikuarantin 10 hari sehingga 31 Januari ini di sebuah hotel di Kuala Lumpur juga fasih berbahasa Mandarin.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Tokoh Warisan Orang Hidup Kebangsaan, Prof. Datuk Dr. Aripin Said berkata, walaupun tinggal lama di China, Sumila tidak lupa jati dirinya sebagai rakyat negara ini.

“Sumilah ketika di China cukup kagum kemajuan Malaysia yang berbilang kaum dan hidup aman harmoni.

“Bagi Sumila, walaupun makmurnya negeri orang, negeri sendirilah yang lebih baik. Sebab itu dia tidak lupa jati dirinya,” katanya di sini semalam.

Sumila adalah anak perempuan komunis Melayu terakhir, Mat Jamil Mat Elan yang meninggal dunia di Beijing dalam usia 80-an pada 2018.

Isnin lalu, Sumila tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pukul 2.30 petang, Jumaat lalu.

Difahamkan, Sumila dibawa lari ketika berusia dua tahun oleh bapanya ke China sekitar April 1956 setelah fahaman komunisme yang didoktrin Parti Komunis Malaya (PKM) ditolak rakyat negara ini, khususnya orang Melayu.

Mengulas lanjut, Arifin berkata, seperti dimaklumkan oleh warisnya, Sumila tidak sabar menunggu tempoh kuarantinnya berakhirnya untuk bertemu dengan waris dan ahli keluarganya di negara ini.

“Sumila rindu bertemu ahli keluarganya, begitu juga ahli keluarga dan warisnya. Namun Sumila faham dan patuh prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

“Dia bersedia dan akan memberikan kerjasama jika diperlukan sebagai rakyat Malaysia yang tertafsir walaupun lebih 60 tahun tinggal di luar negara,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN