PETALING JAYA: Adalah tidak wajar sekiranya siasatan isu pemilikan sejumlah saham terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dilakukan sendiri oleh agensi tersebut.
Justeru Ahli-ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggesa siasatan khas dibuat pihak yang bebas sama ada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) atau melalui Parlimen.
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata, Azam selaku pemimpin utama badan itu juga sepatutnya direhatkan sehingga selesai siasatan bebas secara terperinci.
“SPRM tidak boleh menyiasat SPRM. Perlu ada pihak yang bebas untuk lakukan siasatan. Sama ada PDRM, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) atau melalui Parlimen itu sendiri.
“Beliau (Azam) juga tidak layak berkhidmat sebagai Ketua Pesuruhjaya dan patut direhatkan sekurang-kurangnya sejak pertemuan dengan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) untuk memberi penjelasan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, beliau membuat laporan polis terhadap Azam di Ibu Pejabat Polis dan Daerah Dang Wangi bersama Ahli Parlimen Simpang Renggam Dr Maszlee Malik dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah.
Laporan polis berkenaan meminta pihak PDRM melakukan siastan berdasarkan sekurang-kurangnya tiga undang-undang yang membabitkan penjawat awam dan berhubung milikan saham iaitu Seksyen 25 25(a) dan 29 (a) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991, Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 tahun 2002 (Pemilikan dan Pengisytiharan Harta Oleh Pegawai Awam) dan Seksyen 10 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam, Kelakuan dan Tatatertib 1993 (Pemunyaan Harta). – UTUSAN ONLINE