Speaker nafi terima surat bubar DUN Ahad ini - Utusan Malaysia

Speaker nafi terima surat bubar DUN Ahad ini

SUHAIZAN KAYAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Suhaizan Kaiat menafikan laporan sebuah portal yang mendakwa beliau telah menerima surat berkaitan pembubaran DUN Johor.

Suhaizan menafikan perkara itu dalam satu kiriman ringkas di aplikasi WhatsApp ketika ditanya berhubung kesahihan perkara tersebut.

“Tidak, saya tak terima sebarang surat setakat ini. Terima kasih,” jelasnya.

Terdahulu, sebuah portal mendakwa surat permohonan pembubaran DUN oleh Menteri Besar, Datuk Hasni Mohamad telah dihantar kepada Pejabat Speaker DUN negeri ini.

Menurut laporan portal berkenaan, perkara itu disahkan sumber dalam UMNO sendiri yang turut mendakwa kemungkinan pembubaran DUN Johor akan dibuat Ahad ini.

Laporan itu turut mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah berjumpa Menteri Besar Johor bagi membincangkan persiapan PRN di mana perkara itu telah mendapat perkenan Istana Johor.

Baru-baru ini, khabar angin bahawa Johor bakal menyaksikan PRN diadakan semakin kedengaran khususnya selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian meninggal dunia pada 21 Disember lalu.

Hal itu menyebabkan kedudukan kerajaan negeri Johor dilihat tidak kukuh kerana hanya mempunyai majoriti satu kerusi iaitu 28 kerusi berbanding 27 kerusi pembangkang di DUN.

Pemimpin politik blok kerajaan dan pembangkang turut mempunyai pandangan berbeza berhubung pelaksanaan PRN Johor apabila parti kerajaan dilihat menyokong pelaksanaan PRN manakala parti pembangkang menolak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN