PUTRAJAYA: Satu garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) baharu berhubung pelaksanaan ibadah umrah masih belum dimuktamadkan.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, garis panduan SOP itu sudah dilengkapkan, cuma ia masih memerlukan input serta kelulusan daripada agensi dan kementerian lain yang terlibat.
“Kebenaran semula mengerjakan ibadah umrah itu baharu sahaja diputuskan Kabinet semalam di mana penggantungan sebelum ini adalah selama sebulan iaitu 8 Januari ke 7 Februari. Namun tidak semestinya 8 Februari itu boleh terbang terus ke sana (Arab Saudi).
“Terdapat beberapa perkara lagi yang perlu diteliti seperti dari segi SOP, tempahan dan sebagainya yang perlu melibatkan pelbagai pihak berkaitan sebelum dimuktamadkan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Busana Tradisional Malaysia di bawah Inisiatif Diplomasi Budaya bagi memperkasakan aktiviti seni, budaya dan warisan negara di kementerian itu, di sini hari ini. Turut hadir, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.
Jelas Nancy, beliau juga telah berhubung dengan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang turut bersetuju untuk memberi input berhubung SOP yang disediakan pihaknya.
“Beliau (Khairy) kini masih berada di luar negara atas urusan kerja namun bersetuju untuk bersama-sama meneliti perkara ini dan memberikan input sebelum ia dimuktamadkan.
“Tentang proses kuarantin juga kita ada sertakan dan ia turut memerlukan persetujuan kementerian juga agensi lain seperti Kementerian Kewangan (MOF) dan Agensi Pengurusan Bencana Malaysia (Nadma) memandangkan prosedur kuarantin bukanlah di bawah bidang kuasa MOTAC,” ujar beliau.
Mengulas lanjut berhubung tuntutan pampasan jemaah yang tidak dapat terbang menunaikan umrah sebelum ini, Nancy berkata, nama mereka yang terlibat telah diserahkan kepada MOF untuk tindakan selanjutnya.
“MOF sekarang ini meminta kami bincangkan perkara tersebut secara terperinci bersama pihak Tabung Haji (TH) memandangkan ada mekanisma pembayaran yang akan diperhalusi.
“Kita juga akan memanggil mereka yang terlibat, iaitu mereka yang telah menganjurkan trip pergi ke Mekah dan sebagainya, jadi perbincangan yang masih berjalan ini akan turut melibatkan mereka,” ujarnya.









