SAVE 3.0 dilancar bakal beri manfaat 140,000 isi rumah

SAVE 3.0 dilancar bakal beri manfaat 140,000 isi rumah

TAKIYUDDIN HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Setelah dua siri berjaya, program Kemampanan Dicapai Melalui Kecekapan Tenaga (SAVE) 3.0 dilancarkan hari ini dengan lebih banyak pilihan produk elektrik ditawarkan.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, insentif e-rebat itu bertujuan menggalakkan ramai pengguna domestik beralih kepada barangan cekap tenaga.

“Berbanding SAVE 2.0 yang terhad kepada penyaman udara atau peti sejuk dengan rebat RM200, SAVE 3.0 pula boleh ditebus sehingga RM400,” jelasnya pada sidang akhbar di sini.

SAVE 3.0 dibiayai menerusi Dana Akaun Industri Bekalan Elektrik yang merupakan program inisiatif kesinambungan daripada siri SAVE 1.0 dan 2.0 dilaksanakan lebih dua tahun lalu.

Ia dilancarkan oleh kementerian tersebut bagi mempromosikan amalan penggunaan peralatan elektrik cekap tenaga yang berlabel empat atau lima bintang oleh Suruhanjaya Tenaga (ST).

Program SAVE 2.0 yang dilaksanakan kementerian sepanjang tahun lalu berjaya merekodkan 134,000 penebusan e-rebat dengan penjimatan tenaga elektrik mencecah nilai RM26.8 juta.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, SAVE 3.0 kali ini berbeza kerana menawarkan dua pecahan kategori produk dengan kategori 1 untuk pembelian peti sejuk atau penyaman udara.

“Ia melibatkan rebat boleh ditebus sebanyak RM200 manakala kategori 2 pula bagi pembelian televisyen atau mesin basuh atau ketuhar gelombang mikro atau periuk nasi,” jelas beliau.

Kementerian itu ujarnya, menyasarkan sejumlah 140,000 isi rumah bakal mendapat manfaat SAVE 3.0 dengan penjimatan tenaga 153 GigaWatt joule yang bersamaan nilai RM60.45 juta.

Sekiranya sasaran itu dicapai, negara mampu mengurangkan pelepasan sebanyak 103,890 tan karbon dioksida bagi setiap tahun menerusi pengurangan kos penjanaan tenaga elektrik.

Langkah itu secara jangka panjang tegas beliau, akan menyelamatkan alam sekitar dengan kurang pelepasan gas rumah hijau hasil daripada penurunan penjanaan tenaga konvensional.

Bagaimanapun tambahnya, hanya warganegara Malaysia dan juga pemilik akaun elektrik tarif domestik berdaftar dengan mana-mana empat syarikat utiliti tenaga tempatan layak mohon.

“Pengguna boleh dapat e-rebat mulai hari ini sama ada bawa bil terkini untuk beli secara fizikal di kedai elektrik atau pasar raya yang berdaftar dengan program SAVE 3.0,” kata Takiyuddin.

Selain itu jelasnya, mereka juga boleh memohon e-rebat menerusi kaedah pembelian produk secara atas talian melalui wadah e-dagang yang diiktiraf iaitu Shopee, Lazada atau PG Mall.

Pemohon yang berminat namun disarankan merujuk panduan senarai kelengkapan elektrik dan harga runcit serta membuat perbandingan bagi mendapatkan nilai kos efektif terbaik.

Untuk keterangan lanjut mengenai senarai premis terlibat, mereka boleh menelusuri laman sesawang rasmi program ini iaitu www.seda.gov.my/saveprogram atau telefon 03-88705800. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN