BUTTERWORTH: Keterujaan sebahagian penduduk menerima kunci untuk menduduki rumah baharu di Blok A, Taman Nagasari, Prai di sini lebih sebulan lalu bertukar menjadi kerisauan ekoran kehadiran sekumpulan warga asing yang dikatakan turut menyewa di situ.
Difahamkan, kira-kira 10 daripada keseluruhan 150 unit pangsapuri kos rendah di blok itu telah mula dihuni oleh warga tempatan manakala sebahagian besar penghuni yang lain belum berbuat demikian.
Bagaimanapun, menurut penduduk, jumlah warga asing yang menyewa dikatakan lebih ramai iaitu melibatkan kira-kira 20 unit dan ada yang tinggal lebih awal di situ berbanding penghuni yang sepatutnya.
Lebih mengecewakan kata mereka, ada unit pangsapuri yang disalahgunakan untuk dijadikan asrama pekerja yang dilengkapi dengan kod pengimbas, QR Code My Sejahtera secara terbuka di bahagian pintu masuk.

Wakil penduduk, Amirul Adli Ahmad, 28, berkata, mengikut perjanjian pangsapuri 11 tingkat yang bernilai RM42,000 setiap satu unit yang dibina kerajaan negeri itu tidak boleh disewakan sama ada kepada warga tempatan atau warga asing.
“Jadi, kami hairan bagaimana rumah ini boleh disewa kepada warga asing dengan sesuka hati oleh pemilik. Malah, kami dimaklumkan sebuah kedai runcit akan dibina di tingkat bawah pangsapuri sedangkan kegiatan komersial juga tidak dibenarkan dijalankan di mana-mana unit untuk blok ini,” katanya.
Beliau bersama beberapa penduduk lain ditemui pemberita semasa menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Gooi Hsiao Leung untuk mengadukan hal itu, di sini hari ini.
Mengulas lanjut kata Amirul Adli, dia dan rata-rata penduduk di situ mahu isu tersebut diselesaikan secepat mungkin bagi mengelakkan lebih ramai warga asing tinggal di situ hingga keadaan menjadi tidak terkawal.
“Penduduk-penduduk di sini juga telah sepakat membuat kad akses bagi mengawal mereka yang keluar masuk ke blok ini selepas ini jika tiada lagi warga asing dibenarkan tinggal di sini,” kata bapa kepada dua anak itu.
Dalam pada itu, Hsiao Leung memberitahu, isu salah guna unit kediaman untuk disewa kepada warga asing seperti ini tidak seharusnya berlaku kerana pangsapuri itu dikhususkan kepada penduduk tempatan yang berpendapatan rendah serta belum memiliki rumah sendiri.
“Saya juga telah menulis surat kepada Exco Perumahan (Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo) selepas menerima aduan penduduk dan meminta kerajaan negeri menyiasat perkara ini dengan sewajarnya,” kata beliau. – UTUSAN