KEPALA BATAS: “Sepatutnya rumah kami siap Mac tahun lepas tetapi sekarang sudah hampir setahun tergendala.”
Itu luahan kecewa seorang pembeli rumah, Huzaina Che Hussein, 49, yang mendakwa menjadi mangsa sebuah syarikat kontraktor pembinaan rumah, di sini.
Disebabkan kelewatan tersebut, kata Huzaina, dia dan suaminya, Mohamad Imran Adnan, 53, terpaksa menanggung kerugian mencecah RM100,000 untuk meneruskan pembinaan yang tertangguh itu.
“Pelbagai alasan mereka bagi. Tempah barang sejauh Padang Besar (Perlis) dan tukang tinggal di Kulim tak boleh datang sebab tak bayarlah.
“Saya cakap sebab apa tak boleh bayar padahal duit kami dah bagi setiap kali diminta. Saya cuma nak projek rumah berjalan sahaja. Tetapi mereka suruh kami pula cari kontraktor lain untuk sambung projek,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Sehubungan itu, ibu kepada lima anak itu bersama suaminya serta beberapa pembeli rumah lain yang mendakwa menjadi mangsa kontraktor perumahan tersebut tampil membuat laporan polis baru-baru ini.
“Rupa-rupanya, hampir 10 orang menjadi mangsa mereka di kawasan utara ini dan saya percaya jumlah ini mungkin lebih ramai kerana syarikat itu mengiklankan perkhidmatan mereka melalui Facebook,” katanya.
Tambah Huzaina yang juga usahawan dalam talian, ketika tergendala projek rumahnya yang bernilai kira-kira RM280,000 itu baru 60 peratus siap.
Jelasnya, tambah memburukkan keadaan, dia diberitahu ramai tukang yang bekerja dengan syarikat itu termasuk warga Bangladesh terpaksa ‘angkat kaki’ kerana tidak menerima gaji.
Dalam pada itu, Mohamad Imran pula mendakwa, mereka telah cuba menyelesaikan isu tersebut dengan cara baik, namun tidak diendahkan oleh wakil syarikat berkenaan. – UTUSAN ONLINE










