BUKIT MERTAJAM: Unit Risikan Marin, Pasukan Polis Marin Batu Uban, Pulau Pinang merampas pelbagai jenama rokok seludup dan minuman keras tidak bercukai dalam serbuan yang dilakukan di sini, semalam.
Dalam serbuan khas sempena perayaan Tahun Baharu Cina itu, sebanyak 11 peti rokok dan 17 peti minuman keras yang disyaki tidak bercukai dirampas.
Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 1 Pulau Pinang, Asisten Komisioner Shamsol Kassim berkata, pemeriksaan lanjut mendapati 11 peti rokok itu mengandungi sebanyak 590 karton atau 216,800 batang rokok yang dianggarkan bernilai RM123,490.
“Turut dirampas ialah pelbagai jenama minuman keras sebanyak 143.4 liter bernilai RM9,970 sekali gus menjadikan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM133,460,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Jelas Shamsol, seorang lelaki warga Bangladesh turut ditahan dalam serbuan itu bagi membantu siasatan.
Katanya, suspek dan kesemua barang kes diserahkan kepada pegawai penyiasat di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah di sini untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya yang memberitahu, pihaknya telah melakukan beberapa siri tangkapan di bawah Op Khas sempena perayaan Tahun Baharu Cina itu sejak dilaksanakan bermula Jumaat lalu.
Dalam pada itu Shamsol berkata, bagi mengekang aktiviti penyeludupan serta penjualan rokok dan minuman keras tanpa cukai yang merugikan kerajaan, pasukan Polis Marin Wilayah 1 akan terus melaksanakan operasi yang sama pada masa depan.
Sehubungan itu tambahnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kegiatan atau aktiviti penyeludupan boleh menyalurkannya menerusi talian 04-6558222 untuk tindakan lanjut.