Rohana teruja, syukur Ebit Lew hadir hulur bantuan - Utusan Malaysia

Rohana teruja, syukur Ebit Lew hadir hulur bantuan

EBIT Lew mendengar rintihan Rohana Mahfuz ekoran kediamannya yang musnah dalam kejadian banjir di Hulu Langat. – fb ebit lew
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mangsa banjir di Hulu Langat, Rohana Mahfuz, 76, yang tular dalam media sosial dan disiarkan muka depan akhbar ini sebelum ini bersyukur atas kehadiran pendakwah terkenal, Ebit Lew yang bersetuju membantunya membina semula rumah pusaka milik keluarga.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Rohana yang tidak mampu menahan sebak ketika dihubungi menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang telah membantunya sebelum ini dan terbaharu adalah ziarah daripada Ebit.

“Ustaz datang ke kabin saya dengan pantas selepas membaca kisah saya yang keluar di Utusan Malaysia baru-baru ini dan hanya dua orang pekerjanya yang datang untuk meninjau kawasan sebelum ustaz sampai.

“Saya berasa teramat bersyu­kur kerana teratak itu adalah te­ratak pusaka yang telah menjadi tempat adik-beradik berkumpul di situ tidak kira ketika raya ataupun hari biasa.

“Banyak kenangan di sini jadi apabila dapat dibangunkan rumah itu semula, saya menjadi sangat terharu. Tidak dinafikan bantuan ustaz sangat pantas dan dalam pada yang sama ustaz telah hubungi pihak-pihak yang boleh membangunkan rumah saya itu,” katanya.

Adik bongsunya pula, Rodiah Mahfuz, 56, berkata, dia tidak menyangka rasa resahnya memikirkan nasib kakak tersayang­nya berakhir dengan khabar gembira daripada Ebit.

“Hati saya sangat berat selepas mendengar salah satu kenalan menceritakan proses pengagihan bantuan mang­sa banjir mence­cah jangka masa hingga setahun. Hati saya menjadi risau.

“Namun, selepas pulang ke rumah, kami dikunjungi ustaz dan mendengar bantuan ustaz, hati saya menjadi lega kerana kakak saya akan dapat semula tempat tinggalnya,” katanya.

Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan rumah Rohana yang hanya tinggal tangga itu tetap sama walaupun sudah sebulan tragedi berlalu.

Rohana mengadu nasibnya kerana rumah itu belum dibaiki malah tiada perubahan sejak peristiwa itu. Bahkan, sebagai warga emas, dia mengakui tidak biasa dengan sistem permohonan yang disediakan kerajaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN