‘RM20,000 tidak mampu ganti nyawa dua ahli keluarga saya’ - Utusan Malaysia

‘RM20,000 tidak mampu ganti nyawa dua ahli keluarga saya’

ELLY Kong (kanan) bersama ibunya, Tan Wan Ling menunjukkan sampul BSB yang diterima mereka di Pejabat Daerah dan Tanah Klang, Klang, Selangor hari ini. - UTUSAN/MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Seorang penerima Bantuan Selangor Bangkit (BSB) memaklumkan bantuan berkenaan tidak dapat mengubati kesedihannya akibat kehilangan dua ahli keluarga yang terkorban dalam tragedi banjir di Taman Sri Muda di Seksyen 25, Shah Alam pada 18 Disember lalu.

Menurut Elly Kong, 38, banjir tersebut benar-benar memberi kesan kepada diri dan keluarganya kerana pemergian neneknya, Chan Ah Poh, 94, dan ibu saudaranya, Tan Oan Har, 73, akibat tragedi tersebut, walau bagaimanapun dia menghargai sumbangan yang diberikan Kerajaan Pusat dan Selangor itu.

“Apa yang menyedihkan, nenek dan ibu saudara ditemukan dalam keadaan berpelukan oleh anggota bomba di rumah ibu saudara, pada 20 Disember lalu.

“Saya difahamkan mereka berdua cuba menyelamatkan diri, namun tidak berkeupayaan berbuat demikian lebih-lebih lagi nenek lumpuh dari bahagian pinggang hingga kaki,” katanya ketika ditemui selepas menerima wang dua bantuan tersebut di Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) di sini, hari ini.

Menurutnya, tragedi tersebut juga hampir meragut nyawa ibunya, Tan Wan Ling, 70, yang tinggal di rumah lain di Taman Sri Muda.

Namun kata pekerja swasta itu, dia bernasib baik kerana suaminya bertindak pantas menyelamatkan ibunya daripada lemas.

“Suami masuk ke Taman Sri Muda pada pagi Ahad dengan menaiki bot pasukan keselamatan dan berjaya menemukan ibu dekat loteng rumah.

“Loteng tersebut dibina ayah sebagai tempat perlindungan sekiranya berlaku banjir lagi, setelah mengambil iktibar daripada kejadian banjir pada 1995,” katanya yang kini tinggal di Kota Kemuning.

Perasaan sama turut diluahkan seorang lagi mangsa, Abdul Talib Kamar, 61, yang kehilangan abangnya, Yahya Dolah Kamar, 67, dalam insiden sama di Kampung Idaman, Klang.

Menurutnya, dia dan abangnya tidak tinggal bersama, namun dimaklumkan oleh ahli keluarganya bahawa arwah hilang di rumahnya pada 20 Disember.

“Pihak penyelamat membuat operasi mencarinya dan dia ditemukan di dalam rumah pada 21 Disember.

“Apapun, saya ucapkan terima kasih kepada Selangor atas wang bantuan ini walaupun wang ini tidak dapat kembalikan nyawa abang,” katanya dengan nada sayu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya