Remaja curi tabung, AJK masjid bersemuka esok - Utusan Malaysia

Remaja curi tabung, AJK masjid bersemuka esok

PERISTIWA yang menimpa Daniel Iskandar patut dijadikan pengajaran.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Remaja yang tular dan dimandikan selepas ditangkap mencuri tabung sebuah masjid di Kuang, Rawang awal bulan lalu dan pihak AJK masjid berkenaan dijadualkan untuk bersemuka esok.

Pengerusi Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, sesi pertemuan yang disarankan oleh Mahkamah Tinggi sebelum ini dirancang untuk diadakan minggu lepas.

Bagaimanapun katanya, ia ditunda kepada esok memandangkan remaja tersebut, Daniel Iskandar, 18, dimasukkan ke hospital selepas diserang sawan.

“Berdasarkan perancangan, ia akan dibuat di masjid berkenaan esok selepas waktu Asar. Selain PPMM, pertemuan itu dijangka dihadiri Daniel dan keluarga, ia dijangka turut dihadiri oleh pihak masjid,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perutusan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) 2020 di sini hari ini.

Zainul Rijal yang ditanya adakah pihak yang merakam dan menyebarkan video itu sehingga tular turut dipanggil memberitahu, pihaknya setakat ini tidak mengetahui siapa individu terbabit.

Mahkamah Tinggi di sini pada 18 Januari lalu mengetepikan hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 yang dikenakan terhadap Daniel yang mengaku bersalah cuba mencuri tabung masjid di Kuang, Rawang pada 9 Januari lalu.

Sebaliknya, tertuduh diperintahkan untuk menjalani khidmat masyarakat di bawah program Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tempoh 120 jam selama enam bulan.

Tertuduh perlu menumpukan kepada khidmat masyarakat di masjid-masjid sahaja.

Hakim Datuk Abd. Halim Aman dalam semakan kehakiman berkata, perintah itu dibuat selepas meneliti hujah yang disampaikan pihak pendakwaan dan pembelaan serta surat cara serta nota catatan serta keterangan oleh Mahkamah Majistret Selayang.

Kes Daniel mendapat liputan meluas apabila videonya dimandikan seperti jenazah selepas ditangkap kerana mencuri tabung di sebuah masjid pada 9 Januari tular.

Berdasarkan pertuduhan, Daniel yang tidak bekerja didakwa telah cuba melakukan curi tabung kepunyaan Masjid Al Islahiah dengan mengheret dan menyorokkan tabung di dalam bilik mandi jenazah.

Kesalahan itu dilakukan Masjid Al Islahiah Kilometer 28 Kuang, Rawang pada pukul 11.58 malam pada 8 Januari lalu.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 511 yang mana hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN