Referendum kepada Agong desak siasat Zeti dan suami - Utusan Malaysia

Referendum kepada Agong desak siasat Zeti dan suami

ZETI AKHTAR AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Satu referendum akan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk meminta Seri Paduka campur tangan mengarahkan pihak berkuasa menyiasat bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dan suaminya, Datuk Dr. Tawfiq Ayman berhubung dakwaan menerima dana berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Referendum itu akan diserahkan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kepada Yang di-Pertuan Agong dalam masa terdekat.

Presiden Persatuan Sahabat Ulul Amri Malaysia (PSUAM), Syed Muhammad Imran Syed Abdul Aziz mendakwa, pihaknya telah mengumpul hampir 9,000 tandatangan dalam referendum untuk diserahkan kepada Seri Paduka.

“Tujuan utama referendum kepada Agong, kita minta Zeti dihadapkan ke mahkamah secepat mungkin. Kita sudah tak tahu platform mana lagi boleh digunakan untuk pastikan bekas Gabenor itu dan suaminya diambil tindakan.

“Kita tahu sebelum ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, polis dan pihak berkuasa sedang menyiasat mengenai dana 1MDB yang diambil balik dari Singapura disimpan syarikat milik suami Zeti pada 2019, tapi kita tengok kes itu macam tiada perkembangan, jadi kita minta teruskan siasatan segera,” katanya di himpunan Hentikan Penganiayaan terhadap Najib Razak di PWTC di sini hari ini.

Tambah beliau, jika Zeti dan suaminya didakwa, beliau yakin Najib akan memperoleh kemenangan dalam kes 1MDB, memandangkan Tawfiq adalah saksi pendakwaan.

Pendakwaan terhadap bekas Perdana Menteri membabitkan dana 1MDB itu, katanya, adalah penganiayaan yang dirancang pihak tertentu untuk menjatuhkannya.

“Kita mahu Najib kembali menjadi Perdana Menteri. Kalau Barisan Nasional (BN) nak menang pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), kena letak muka Najib sebagai calon Perdana Menteri,” jelasnya.

Mingguan Malaysia mendedahkan, terdapat beberapa nama besar dikenal pasti menerima dana berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tetapi perkara itu belum pernah didedahkan mana-mana pihak.

Perkara tersebut terdedah apabila SPRM berusaha melakukan pemulihan aset 1MDB sama ada di dalam dan luar negara melibatkan beberapa nama besar yang mempunyai kaitan dengan 1MDB bernilai 20.5 bilion.

Satu siasatan juga telah dimulakan SPRM di bawah di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Penggubahan Wang Haram 2001 membabitkan Zeti dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Dalam pada itu, Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram SPRM, Mohammad Zamri Zainul Abidin turut mengesahkan kepada Mingguan Malaysia, ada menerima aduan mengenai dakwaan salah guna kuasa membabitkan Zeti dan Nor Mohamed daripada NGO pada 22 Disember lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN