Rasuah: Putra cadang wujudkan Akta Sabotaj Ekonomi Negara - Utusan Malaysia

Rasuah: Putra cadang wujudkan Akta Sabotaj Ekonomi Negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mencabar kerajaan untuk mewujudkan Akta Sabotaj Ekonomi Negara bagi menangani isu-isu yang berkaitan dengan rasuah dan dilihat semakin berleluasa.

Presiden Putra, Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, isu rasuah perlu diselesaikan segera bagi meredakan kemarahan masyarakat dan tidak menyebabkan rakyat melakukan rusuhan seperti yang berlaku di kota raya semalam.

Menurut beliau, konsep cadangan akta tersebut mempunyai kesamaan konsep dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri iaitu orang yang disyaki melakukan kegiatan rasuah supaya terduduh akan ditahan iaitu tahanan tanpa waran.

“Cara menangani rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram masa kini tidak berkesan, membuang masa, berlaku banyak pembaziran wang negara dan masih ada penjenayah rasuah berjaya melepaskan diri daripada hukuman.

“Konsep Akta Sabotaj Ekonomi Negara mempunyai ciri-ciri Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Rasuah bukan sahaja buruk kepada ekonomi tetapi boleh juga mengancam keselamatan negara hingga berlakunya rusuhan rakyat dan rampasan kuasa,” katanya ketika ditemui di perhimpunan agung perwakilan Putra tahunan kali ke dua.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, sebanyak 30 kumpulan masyarakat dan 11 parti politik menyokong perhimpunan menuntut Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki ditangkap.

Ibrahim berkata, Putra menyokong SPRM diletakkan di bawah penyeliaan Parlimen dan bukan lagi Jabatan Perdana Menteri bagi membuktikkan kerajaan adalah badan utama yang ingin mencegah rasuah.

Jelasnya, kerajaan perlu menunjukkan sikap mereka untuk melawan rasuah dan beliau juga berpendapat lima jawatankuasa di bawah SPRM perlu dibubarkan kerana tidak mempunyai keselarian dan tiada kepentingan kepada masyarakat.

“Saya juga berharap kuasa pendakwaan dipisahkan di antara agensi-agensi kerajaan dengan peguam negara. Peguam negara tidak boleh menentukan kes yang telah disiasat oleh agensi lain, sebaliknya hanya mahkamah boleh tentukan.

“Selain itu, siapa sahaja yang sedang didakwa oleh mahkamah, mereka tidak boleh memberi alasan bahawa ia hanya kospirasi politik kerana ia bukan sahaja menunjukkan pelaku tiada integriti tetapi turut melawan hukum mahkamah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN