Rakyat bukan bahan eksperimen politik - Utusan Malaysia

Rakyat bukan bahan eksperimen politik

CHE ZAKARIA MOHD. SALLEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG : Rakyat di negeri ini tidak seharusnya dijadikan bahan eksperimen politik dengan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semata-mata untuk mengukuhkan pengaruh atau kekuatan mana-mana parti.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Che Zakaria Mohd. Salleh berkata, situasi politik di negeri ini ketika ini masih lagi tenang walaupun kerajaan negeri yang memerintah hanya memiliki kelebihan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sahaja.

“Kita tidak mahu situasi politik di negeri ini bergolak. Jangan burukkan keadaan di negeri ini yang baru bangkit daripada Covid-19 dan jangan cipta masalah yang sebelum ini takde masalah pun. Isu PRN ini menakut-nakutkan rakyat Johor dan perlu diberikan noktah.

“Sepatutnya semua ADUN menghormati dan tidak derhaka pesanan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar semasa bertitah dalam pembukaan sidang DUN baru-baru ini supaya mengekalkan kestabilan politik di Johor.

“Jika ada pihak yang terdesak untuk mengadakan PRN, mereka perlu menunggu sehingga Pilihan Raya Umum ke15 (PRU15), buat serentak di seluruh negara. Kos untuk PRN Johor lebih RM40 juta, ini membazir duit rakyat,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad terus berteka-teki berkenaan tarikh sebenar PRN Johor akan diadakan selepas Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Jimmy Puah Wee Tse sebelum itu mendesaknya membuat pengumuman mengenainya.

Khabar angin bahawa Johor bakal menyaksikan PRN diadakan semakin kedengaran khususnya selepas ADUN Kempas, Datuk Osman Sapian yang juga bekas Menteri Besar Johor meninggal dunia pada 21 Disember lalu.

Perkembangan itu menyebabkan kedudukan kerajaan negeri Johor dilihat tidak kukuh kerana hanya mempunyai majoriti satu kerusi iaitu 28 kerusi berbanding 27 kerusi pembangkang di DUN.

Mengulas lanjut, Che Zakaria berkata, perkara itu tidak seharusnya menjadi isu kerana semua ADUN termasuk pembangkang menyokong kepimpinan Menteri Besar Johor dan tidak ada sebab untuk membubarkan DUN.

Beliau mendakwa, desakan tersebut datang daripada kem berbeza dengan Perdana Menteri dan mempunyai agenda serta kepentingan diri terutama mereka yang masih mempunyai kes-kes rasuah di mahkamah.

“Johor tidak boleh dijadikan seperti Melaka dengan mengadakan PRN, ini situasi yang berbeza. Johor mempunyai sultan dan Undang-Undang Tubuh Negeri yang patut dipatuhi, bukan boleh dilanggar sesuka hati dengan buat PRN,” katanya.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN