PTPTN, Yayasan KRU jalin kerjasama perkasa keusahawanan digital - Utusan Malaysia

PTPTN, Yayasan KRU jalin kerjasama perkasa keusahawanan digital

NORMAN Abdul Halim (dua dari kiri) menyampaikan sijil tamat latihan kepada para peserta  program Kita Jaga Kita yang menyediakan latihan Social E-Commerce.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Yayasan KRU menjalin kerjasama menerusi program Kita Jaga Kita yang menyediakan latihan Social E-Commerce bagi memperkasa ilmu keusahawanan digital untuk golongan belia dari keluarga B40.

Presiden Lembaga Pemegang Amanah Yayasan KRU, Datuk Norman Abdul Halim berkata, program Kita Jaga Kita dilancarkan pada 1 Jun tahun lalu dengan hasrat melahirkan 100 usahawan dalam kalangan mahasiswa khususnya daripada keluarga kumpulan B40 di Malaysia sepanjang tahun ini.

“Yayasan berterima kasih kepada PTPTN kerana membantu kumpulan pertama seramai 20 belia warga Malaysia menyertai program ini sekali gus melayakkan mereka mendapatkan pensijilan profesional bertaraf antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis penyampaian sijil tamat latihan dan akreditasi daripada badan profesional Adobe Certified Professional – Premiere Pro kepada 20 pelatih yang menyertai program itu.

Yang hadir sama Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid; Timbalan Presiden Lembaga Pemegang Amanah Yayasan KRU, Muhammad Razlan Ismail; Ketua Pegawai Operasi PTPTN, Mastura Mohd. Khalid; Pengurus Besar Kanan, Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar dan pegawai-pegawai PTPTN.

Latihan dijalankan selama sebulan secara hibrid yang merangkumi modul berkaitan keusahawanan digital dan penerbitan kandungan kreatif.

Menurut Norman, Yayasan KRU berharap para pelatih bukan saja menjadi usahawan yang berjaya tetapi menjadi pencipta pekerjaan dengan menyediakan peluang pekerjaan bagi belia warga negara ini lain.

“Yayasan KRU ingin menjemput sektor awam, swasta serta orang ramai untuk bersama-sama Yayasan KRU menjayakan inisiatif Kita Jaga Kita.

“Untuk maklumat lanjut berkaitan pendaftaran sebagai sukarelawan, rakan strategik dan permohonan program latihan, sila layari laman sesawang www.yayasankru.org,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ahmad Dasuki berkata, kerjasama strategik yang dilaksanakan bersama Yayasan KRU itu diharap dapat membantu para belia peminjam PTPTN dari keluarga B40 untuk menceburi bidang keusahawanan dalam meningkatkan ekonomi keluarga.

Katanya, sebagai agensi yang cakna dan prihatin, PTPTN sentiasa menyantuni dan menyelami isu-isu masyarakat bagi membantu mereka yang memerlukan terutama dikala pandemik Covid-19.

“Semoga dengan inisiatif ini dapat meningkatkan imej positif PTPTN dalam masyarakat dan merapatkan hubungan antara PTPTN dengan golongan belia terutama pinjaman PTPTN,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.