Projek rumah ketam UMT tingkatkan pengeluaran benih - Utusan Malaysia

Projek rumah ketam UMT tingkatkan pengeluaran benih

PROJEK rumah ketam dibangunkan UMT berupaya meningatkan pengeluaran benih ketam renjung di Hua Kee Kelong, Selat Tebrau, Gelang Patah di Iskandar Puteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mengambil inisiatif untuk mengadakan projek rumah ketam di Hua Kee Kelong, Selat Tebrau, Gelang Patah, di sini bagi meningkatkan hasil pengeluaran benih ketam renjung di kawasan itu. 

Ketua Projek, Dr. Mohamad Nor Azra Md. Adib berkata, projek tersebut dijalankan bagi membantu daya ketahanan ketam bertelur terhadap perubahan iklim yang menjejaskan pengeluaran selain dipengaruhi aktiviti manusia.

Pensyarah Kanan Institut Bioteknologi Marin UMT itu berkata, langkah tersebut dilihat perlu dilaksanakan setelah hasil tangkapan di kawasan perairan itu berkurangan hampir 70 peratus daripada hasil tangkapan 5,240 metrik tan pada 2001 kepada 1,471  tan metrik yang direkodkan pada 2020.

“Kawasan ini (Selat Tebrau, Gelang Patah) merupakan salah satu kawasan yang sangat prolifik untuk ketam renjung betina bertelur. Rekod terdahulu oleh Jabatan Perikanan menunjukkan kawasan ini merupakan kawasan yang merekodkan jumlah tangkapan ketam renjung yang tertinggi di Malaysia. 

“Namun, data menunjukkan kemerosotan tangkapan pada 2020 selain tiada rekod yang menunjukkan terdapat aktiviti berkaitan pelepasan umum atau pengurusan benih ataupun induk dijalankan sejak 2010,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Nor Azra merupakan salah seorang felo sulung daripada sembilan orang penyelidik di Asia Timur yang mengikuti program Leadership for Climate Resilient Fisheries Fellowship, pada September tahun lalu.

Nor Azra memberitahu, projek terlibat merangkumi dua fasa utama iaitu pembinaan rumah ketam sebagai tempat pengurusan benih dan induk ketam serta pengenalan polisi baru kepada pihak kerajaan dan pihak yang berkepentingan.

Katanya, bagi menjayakan program itu, ia memerlukan penglibatan oleh pihak industri serta nelayan tempatan dalam menggalakkan aktiviti pembenihan itu dijalankan sebaik mungkin.

“Sebagai galakan kepada golongan nelayan terhadap inisiatif ini, kita akan membeli ketam bertelur ini lebih tertinggi berbanding harga pasaran iaitu antara RM40 hingga RM45 sekilogram.

“Ketam betina itu akan dimasukkan ke dalam 30 bilik yang berasingan untuk tempoh tiga ke tujuh hari sebelum menetas. Ketam betina yang bertelur di kawasan ini amat penting dalam memastikan ekosistem ketam renjung terkawal dan mampan. 

“Program seperti ini diharap dapat memastikan kelestarian sumber ketam dapat dikawal, dikekalkan dan dipulihara daripada ancaman penangkapan ketam berlebihan dan perubahan iklim di kawasan ini,” katanya. 

Katanya, penghasilan projek rumah ketam berkenaan menggunakan geran antarabangsa Ocean Leadership Microgrants (Sustainable Ocean Alliance and Environmental Defense Fund) yang berjumlah RM21,000.

“Kita rancang untuk memperluaskan projek ini jika ada dana tambahan, namun perancangan seterusnya adalah untuk memperkenal polisi baru kepada Jabatan Perikanan, Tebrau Crab Policy, di mana nelayan akan tangkap dan lepas ketam bertelur di kawasan Selat Tebrau sahaja untuk permulaan,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya