PRN: Pas Johor masih bincang kerjasama dengan UMNO - Utusan Malaysia

PRN: Pas Johor masih bincang kerjasama dengan UMNO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pas Johor masih menjalankan perbincangan bersama UMNO negeri ini berhubung kerjasama antara kedua-dua parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sekiranya diadakan dalam waktu terdekat ini.

Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Hussin berkata, perkara itu  belum diputuskan dan akan diserah kepada Pas Pusat untuk dipertimbang selepas ia dimuktamadkan.

“Kita masih berbincang sama ada akan bekerjasama dengan UMNO atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), namun setakat ini belum ada keputusan Pas Johor akan bersama siapa. Kita juga belum mengadakan pertemuan rasmi dengan Pengerusi UMNO Johor yang juga merupakan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad. Ini termasuk perbincangan berkenaan pembahagian kerusi jika benar PRN Johor akan dilakukan dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Tambah Abdullah, secara dasar pihaknya bertegas mahu ketiga-tiga parti berkenaan iaitu Pas, UMNO dan Bersatu untuk menjalin kerjasama tetapi beliau sedar perkara itu dilihat agar sukar ketika ini.

“Tetapi, apa yang pasti Pas Johor akan bertanding dalam PRN sama ada dengan UMNO atau Bersatu, cuma jumlah kerusi masih belum diputuskan,” ujarnya.

Khabar angin bahawa Johor bakal menyaksikan PRN diadakan semakin kedengaran khususnya selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian meninggal dunia pada 21 Disember lalu. Hal itu menyebabkan kedudukan kerajaan negeri Johor dilihat tidak kukuh kerana hanya mempunyai majoriti satu kerusi iaitu 28 kerusi berbanding 27 kerusi pembangkang di DUN.

Pemimpin politik blok kerajaan dan pembangkang turut mempunyai pandangan berbeza berhubung pelaksanaan PRN Johor apabila parti kerajaan dilihat menyokong pelaksanaan PRN manakala parti pembangkang menolak.

Perkara itu turut diperkukuh dengan pertemuan melibatkan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dengan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar awal bulan ini yang didakwa turut membincangkan berhubung pelaksanaan PRN Johor. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya