PRN Johor: UMNO serah kepada MB - Utusan Malaysia

PRN Johor: UMNO serah kepada MB

ISMAIL Sabri Yaakob menyaksikan program kerjasama pemerkasaan industri hiliran koko antara Pengerusi Lembaga Koko, Rahimah Majid (tiga kiri) dengan Beryl's Chocolates, Yvonne Tay (dua kanan) pada Program Eksklusif bersama Perdana Menteri dan Majlis Pelancaran Jelajah Agrikomoditi #KeluargaMalaysia 2022 di Hotel Marriot. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Ibu pejabat UMNO tidak pernah mengadakan perbincangan dengan UMNO Johor bagi pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk dibuat Pilihan Raya Negeri (PRN).

Perkara ini disahkan sendiri Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden parti itu sebagai mengulas desas-desus UMNO bersiap sedia PRN negeri tersebut.

“Perkara itu (PRN) terserah kepada Menteri Besar selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri (Datuk Hasni Mohamad) sendiri kalau beliau rasa memang ada keperluan. Seperti kelaziman, beliau masih perlu menghadap Sultan Johor (Sultan Ibrahim Sultan Iskandar) untuk beri nasihat jika wajar DUN dibubarkan sekarang untuk buat PRN,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Eksklusif Bersama Perdana Menteri dan melancarkan Jelajah Agrikomoditi Keluarga Malaysia di sini malam ini.

Khabar angin mengenai PRN Johor bertiup kencang susulan kedudukan kerajaan negeri tidak lagi kukuh apabila hanya memiliki majoriti satu kerusi dalam DUN berbanding pembangkang susulan kematian bekas Menteri Besar ke-16, Datuk Osman Sapian yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia pada 21 Disember tahun lalu.

Ismail Sabri dalam nada berjenaka berkata, isu PRN Johor juga tidak dibincangkan dalam mesyuarat mingguan Kabinet apatah lagi mesyuarat ibu pejabat UMNO.

“Kabinet tidak pernah bangkit isu ini sebab tiada kaitan pun dengan Kerajaan Persekutuan dan begitu juga UMNO Pusat ketika sesi mesyuarat terbaharu, langsung tidak sentuh. Sebaliknya kita juga bersetuju dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk menyerahkan perkara itu terus kepada kepimpinan parti tersebut di peringkat negeri,” katanya.

Sekiranya DUN Johor dibubarkan, negeri itu muncul sebagai keempat mengadakan PRN tersendiri berasingan daripada Pilihan Raya Umum ke-15 akan datang paling lewat pada 2023 dengan terdahulu, Sabah ebagai negeri pertama melaksanakan PRN pada 26 September 2020 diikuti Melaka (29 November 2021) dan terbaharu, Sarawak pada 18 Disember lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN