PRN Johor: UMNO sasar tanding 42 kerusi - Utusan Malaysia

PRN Johor: UMNO sasar tanding 42 kerusi

MOHAMAD Hasan ketika ditemui pemberita di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: UMNO menyasarkan bertanding sekurang-kurangnya di 42 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak lama lagi.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, jumlah kerusi itu bagaimanapun belum mengambil kira kerusi DUN bagi parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) iaitu MCA dan MIC.

Jelasnya, parti itu masih di peringkat perbincangan antara rakan komponen dan akan memutuskan jumlah kerusi masing-masing dalam masa terdekat.

“Kami menyasarkan minimum 42 daripada 56 kerusi DUN di Johor. Ini hanya mengambil kira UMNO sahaja,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai jumlah kerusi yang mahu ditandingi UMNO selepas Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN berkuat kuasa Sabtu lalu bagi memberi laluan kepada PRN diadakan.

Mengulas lanjut, Mohamad mengakui parti itu bakal berdepan cabaran getir dalam pilihan raya negeri terutama selepas pertambahan hampir 30 peratus pengundi-pengundi baharu tahun ini.

Beliau juga mengakui parti itu sukar meramalkan apa yang bakal berlaku dalam PRN Johor, khususnya sentimen pengundi baharu susulan pelaksanaan pendaftaran automatik pengundi berusia 18 tahun ke atas.

“Untuk Johor, jumlah pengundi bertambah kepada lebih 700,000. Ini bermakna semua pihak perlu bekerja keras, termasuk UMNO.

“Persediaan kita dalam menghadapi PRN Johor masih belum selesai lagi, namun tentunya kita perlu bersiap siaga, khususnya dengan fokus baharu membabitkan pertambahan jumlah pengundi.

“PRN ini bukan mudah bagi UMNO. Kita tidak tahu apa yang bakal kita hadapi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN