KUALA LUMPUR: Kes pertuduhan jenayah pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi disifatkan sebagai terlalu lemah atau tidak sesuai dijadikan sebagai modal pembangkang Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, hal itu jauh sekali menjadi punca utama mengapa parti itu harus kalah pada pilihan raya negeri.
“Kes yang berhormat melibatkan pendakwaan di mahkamah sudah pun terlalu lemah dua tiga tahun yang lalu. Sejauh mana orang mahu menggunakan kes mahkamah sebagai modal pilihan raya. Kerana pendakwaan sedang dilakukan atau pun telah diputuskan.
“Datuk Seri Najib Razak telah pun diputuskan mahkamah. Saya tidak tahu sama ada Ahmad Zahid perlu membela diri atau tidak. Ini (kes) sudah dua tiga tahun. Saya tidak yakin ini jadi faktor utama (kekalahan UMNO pada pilihan raya).
“Kalau dalam korporat terminologi ini adalah fully diluted basis lah,” katanya kepada pemberita di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada kes mahkamah melibatkan Ahmad Zahid cenderung dijadikan ‘bahan serangan’ pembangkang di ketika negara bakal menyaksikan satu lagi pilihan raya negeri yang akan berlangsung di Johor.
Beliau terdahulu hadir ke Mahkamah Tinggi sebagai tanda solidariti terhadap Ahmad Zahid selepas mahkamah memerintahkannya membela diri atas 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana berjuta-juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.