PUTRAJAYA: Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah jalan terbaik untuk mengembalikan kestabilan politik agar rakyat mendapat khidmat sewajarnya daripada kerajaan yang dipilih.
Exco Pemuda UMNO, Bastien Onn berkata, apa yang paling penting, pembangkang seharusnya segera menghentikan tuduhan kononnya UMNO gila kuasa dan tidak memahami kesusahan rakyat.
“Bagaimana Pakatan Harapan (PH) boleh menuduh UMNO gila kuasa sedangkan parti ini sedang memerintah dan Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad menyerahkan kuasa kepada rakyat untuk memilih siapa yang mereka kehendaki mentadbir negeri ini.
“Pemergian bekas Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian secara tidak langsung mewujudkan ketidakstabilan dari segi kedudukan di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bastien berkata, Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong tidak perlu berlagak buat-buat tidak faham berhubung kedudukan DUN ketika ini yang mana kerajaan pimpinan Hasni pada hari ini bergantung kepada majoriti tipis.
Sebelum ini, Pakatan Harapan (PH) Johor melihat tindakan mencetuskan PRN oleh UMNO sebagai helah untuk mengambil kesempatan ketika ramai rakyat di negeri ini yang berhadapan kesukaran untuk pulang mengundi.
Pembangkang turut mempersoalkan tindakan itu yang dibuat tanpa mengambil kira keadaan kesihatan dan ekonomi negeri menjadi lebih stabil.
Katanya, PH Johor tetap dengan pendirian bahawa pada ketika ini bukan masa sesuai untuk pilihan raya di saat virus Covid-19 varian Omicron, bencana banjir, isu ekonomi dan sebagainya sedang dihadapi.
Dalam pada itu Bastien mempersoalkan, bagaimana kerajaan hendak berfungsi sekiranya di dalam persidangan DUN, ada ahli DUN dari blok kerajaan tidak dapat hadir untuk mengundi Rang Undang-Undang (RUU) atas pelbagai sebab yang tidak dapat dielakkan.
Dalam hal itu katanya, kerajaan akan menjadi lumpuh sekiranya pembentangan bajet atau RUU melibatkan rakyat tidak dapat diluluskan kerana ketidakhadiran seorang sahaja di pihak kerajaan.
“Situasi itu akan menyukarkan Kerajaan Negeri Johor untuk menjalankan urusannya terutama berkaitan isu kesihatan, ekonomi dan pendidikan. Ini adalah langkah menstabilkan kerajaan bagi memberi khidmat kepada rakyat. Barisan Nasional (BN) menyerahkan kepada rakyat untuk menentukannya,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Sekijang, Mohd. Nor Saidil Ibrahim berpendapat, PRN Johor kali ini amat menarik kerana buat pertama kalinya melibatkan penyertaan Undi18.
“Kami pemimpin dari kalangan Pemuda UMNO mengalu-alukan kedatangan mereka untuk menyertai demokrasi kali ini,” katanya.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, parti itu akan bertanding sekurang-kurangnya 42 daripada 56 kerusi pada PRN Johor.
Jelasnya, perbincangan mengenai kerusi tersebut masih belum diadakan, namun itu sasaran parti setakat ini.