JOHOR BAHRU: Barisan Nasional (BN) Johor mengulangi hasrat untuk bertanding secara solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang kerana yakin mampu peroleh kemenangan majoriti lebih daripada dua pertiga kerusi.
Pengerusi BN Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, keputusan muktamad bagaimanapun tertakluk kepada pucuk pimpinan tertinggi parti.
“Di peringkat negeri, kita sudah mencadangkan untuk BN bergerak secara solo, secara bersendirian dalam PRN akan datang ini.
“Kita mahu bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor kerana kita yakin boleh menang lebih daripada dua pertiga kerusi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan selepas menghadiri Program Perasmian Penutup Program Taklimat Pilihanraya MIC Johor di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat, di sini hari ini.
Turut hadir, Presiden MIC, Tan Sri S. A. Vigneswaran dan Pengerusi MIC Johor, R. Vidyananthan.
Sementara itu, Hasni turut memberitahu tiada keperluan buat pihaknya mendapatkan persetujuan daripada parti lain yang membentuk kerajaan negeri bagi membubarkan DUN Johor.
“Perkara itu tidak berbangkit kerana pembubaran DUN Johor yang dibuat telah menepati Fasal 23 Bahagian Kedua dan Bahagian Ketiga Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 yang membenarkan ketua kerajaan membubarkan DUN dengan perkenan Sultan Johor.
“Oleh itu, mesyuarat majlis kerajaan negeri yang diadakan semalam hanyalah untuk memaklumkan berhubung pembubaran DUN dan bukannya untuk mendapat persetujuan mereka,” jelasnya.
Terdahulu, bekas Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohd. Solihan Badri mempertikai tindakan Hasni yang membubarkan DUN Johor tanpa mengadakannya perbincangan dengan parti-parti lain dalam kerajaan negeri.
Semalam, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Johor selepas menerima mengadap Menteri Besar.