PRN: Bersatu Johor tidak bincang apa-apa - Utusan Malaysia

PRN: Bersatu Johor tidak bincang apa-apa

DR. SAHRUDDIN JAMAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor setakat ini masih belum mengadakan sebarang perbincangan mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri itu biarpun khabar angin mengenai perkara itu menjadi tumpuan ketika ini.

Setiausaha Bersatu Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal berkata, ini kerana tumpuan parti ketika ini terarah kepada membantu rakyat di negeri ini yang terkesan akibat banjir serta terjejas pendapatan kerana penularan Covid-19 sejak dua tahun lalu.

“Cerita tentang PRN Johor ini pun saya tahu daripada hebahan media menerusi kenyataan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad serta rakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lain.

“Selain itu, kami juga tidak maklum mengenai mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (Bersatu) mengenai PRN Johor yang difahamkan diadakan malam tadi di sebuah hotel di ibu negara.

“Kami juga masih belum membuat apa-apa perbincangan tentang PRN setakat ini. Buat masa ini Bersatu Johor fokus untuk bantu rakyat yang terjejas banjir dan Covid-19 selain ekonomi yang masih belum pulih,” katanya ketika dihubungi hari ini.  

Terdahulu, MPT Bersatu difahamkan mengadakan mesyuarat berhubung PRN Johor di ibu negara malam tadi.

Isnin lalu, Hasni dilaporkan tidak menafikan khabar angin yang mengatakan akan diadakan PRN dalam masa terdekat sebaliknya perlu memantau dan melihat keadaan semasa.

Hasni dilaporkan mengakui kerajaan negeri ‘tidak suka’ dengan hanya majoriti satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sahaja yang dimiliki oleh pakatan yang membentuk kerajaan pada hari ini biarpun sokongan gabungan Bersatu dan Pas dilihat tidak goyah.

Desas desus pembubaran DUN yang membuka laluan kepada PRN Johor dalam masa terdekat semakin hangat diperkatakan sejak ADUN Kempas, Datuk Osman Sapian yang juga bekas Menteri Besar meninggal dunia pada 21 Disember lalu.

Sementara itu, Ketua Bahagian Bersatu Pontian, Senator Isa Ab. Hamid berkata, pucuk pimpinan parti akan mengeluarkan arahan untuk mengadakan mesyuarat bahagian sekiranya MPT ada mengadakan mesyuarat tertentu termasuk membincangkan soal PRN Johor.

“Setakat ini, saya serta 25 ketua bahagian Bersatu Johor belum dimaklumkan sama ada mesyuarat MPT diadakan malam tadi atau sebaliknya. Kebiasaannya, selepas mesyuarat MPT, giliran ketua-ketua bahagian pula yang akan bermesyuarat.

“Sekiranya MPT mengadakan mesyuarat tentang PRN Johor malam tadi, pastinya dalam tempoh sehari dua ini, kami ketua-ketua bahagian Bersatu akan terima arahan untuk adakan mesyuarat pula” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya