ABUJA: Presiden Nigeria, Muhammadu Buhari mengesahkan 19 penumpang terbunuh dalam kemalangan jalan raya di wilayah barat laut negara itu pada Khamis.
Dalam satu kenyataan, Buhari menyifatkan kejadian itu, yang berlaku di jalan Kano-Zaria di wilayah utara, sebagai “tragedi malang,” menyatakan kesedihan atas kehilangan nyawa.
Menurut laporan media tempatan, 26 penumpang turut cedera dalam kemalangan yang berlaku apabila dua bas yang dipandu laju bertembung dan terbakar menyebabkan sebahagian besar penumpang turut terbakar.
“Saya faham bahawa kemalangan itu berpunca kerana memandu terlalu laju dan ini amat membimbangkan saya,” kata pemimpin Nigeria itu sambil melahirkan bahawa kekerapan kemalangan jalan raya amat membimbangkan dan memerlukan tindakan lebih mendalam tentang kepentingan standard keselamatan.
Beliau menasihatkan pemandu supaya mengambil serius peraturan keselamatan, dengan menyatakan bahawa mereka mempunyai tanggungjawab untuk melindungi penumpang mereka.
“Adalah malang bahawa negara kita adalah sebuah negara di mana, walaupun program penerangan awam kerap dilakukan oleh pegawai keselamatan jalan raya, pemandu degil kami melayan isu itu dengan acuh tak acuh,” kata Buhari.
Kemalangan jalan raya yang membawa maut sering dilaporkan di Nigeria, selalunya disebabkan oleh muatan berlebihan, keadaan jalan yang buruk dan tingkah laku memandu yang melulu. – Xinhua










