Polis terima laporan kehilangan pendawaian, siren amaran banjir Taman Sungai Gemas - Utusan Malaysia

Polis terima laporan kehilangan pendawaian, siren amaran banjir Taman Sungai Gemas

SIREN Amaran Banjir di Taman Sungai Gemas, Tampin yang disedari berlaku kehilangan pendawaian kotak siren sistem oleh kakitangan JPS semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Seorang kakitangan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) membuat laporan polis berhubung terdapatnya kehilangan pendawaian kotak siren, Sistem Siren Amaran Banjir di Taman Sungai Gemas, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Anuwal Ab Wahab berkata, sebaik sahaja menerima laporan daripada kakitangan JPS berusia 45 tahun itu, pihaknya telah segera ke lokasi kejadian.

Lokasi kejadian menurutnya, merupakan kawasan kolam tadahan JPS berhampiran Sungai Gemas serta berdekatan dengan taman perumahan iaitu Taman Sungai Gemas.

Tambah beliau, tempat kejadian berpagar keliling dan didapati terdapat kesan pagar dirosakkan.

“Kotak suis utama juga diumpil dan beberapa pendawaian di dalam kotak hilang. Barangan yang didapati hilang antaranya ialah dua unit bateri kecil, pendawaian di dalam kotak fius dan panel solar.

“Kali terakhir Stesen Amaran Banjir Taman Sungai Gemas yang dibina sejak 15 tahun lalu itu diperiksa atau diselenggara dan barangan di dalam keadaan baik adalah pada 8 Disember tahun lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anuwal berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN