Polis Lipis gempur 'port' dadah, 25 suspek ditahan

Polis Lipis gempur ‘port’ dadah, 25 suspek ditahan

ANGGOTA Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Lipis menahan penagih dadah dalam serbuan di sebuah 'port' sempena Ops Tapis di Lipis, Pahang. - FOTO/IHSAN IPD LIPIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis menggempur sebuah ‘port’ dadah dan berjaya menahan seramai 25 orang penagih dadah berusia antara 19 hingga 60 tahun sempena Op Tapis, semalam. 

Ketua Polis Daerah, Superintenden Azli Mohd. Noor berkata, Op Tapis yang bermula awal tahun ini melibatkan penugasan 17 orang anggota polis berjaya menahan seorang suspek di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 39C ADB (dua orang) dan Seksyen 15(1)(a) seramai 22 orang.

“Suspek yang ditahan terdiri daripada 24 orang lelaki Melayu dan seorang lelaki India ketika sedang leka menghisap dadah di ‘port’ itu dan kita turut merampas heroin seberat 20.40 gram.

“Op Tapis yang pertama pada awal tahun ini melibatkan jumlah tangkapan yang terbesar dan ini menunjukkan suspek yang juga penagih masih tidak serik dan tidak takut dengan undang-undang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Azli, bagi Seksyen 39C ADB 1952 melibatkan tiga kes dilakukan oleh dua suspek yang masing-masing seorang menjalani pertuduhan semalam, manakala seorang lagi, 24 Januari ini.

“Seramai 21 orang suspek dadah didapati positif dadah selepas menjalani saringan air kencing,” ujarnya.

Jelasnya, IPD Lipis berterima kasih kepada orang ramai yang memberikan maklumat sehingga berjaya menggempur ‘port’ dadah itu dan diharap kerjasama berkenaan diteruskan pada masa akan datang dalam usaha polis membanteras kegiatan dadah di daerah ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN