KUCHING: Polis Cawangan D7 Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching menggempur dan menumpas tiga pusat operasi judi dalam talian (calling centre) dalam operasi Op Dadu Khas di sini dalam tiga serbuan berasingan dari 4 hingga 9 Januari lalu.
Ketika serbuan, polis berjaya menangkap 17 warganegara Indonesia termasuk seorang wanita yang bekerja di premis berkenaan.
Turut ditahan ialah lima pekerja warga tempatan termasuk seorang wanita.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata serbuan pertama dilakukan pada 4 Januari di sebuah kediaman jenis berkembar di kawasan Tabuan Tranquility di sini apabila empat orang lelaki warga tempatan dan tiga lelaki warga Indonesia berumur 20 hingga 30 tahun telah ditangkap.
Sementara itu, katanya serbuan kedua pada 7 Januari lalu di sebuah kondominium di Jalan Song di sini, polis berjaya menangkap seramai lapan suspek warga Indonesia, yang terdiri daripada tujuh lelaki dan seorang wanita.
Manakala, katanya dalam serbuan ketiga pada 9 Januari di sebuah flet di Jalan Stutong, di sini seramai enam lelaki warga Indonesia dan seorang perempuan warga tempatan telah ditahan.
Ahsmon berkata, modes operandinya adalah penganjur yang juga operator pusat-pusat berkenaan dan 19 operator yang diupah untuk mengendalikan pusat tersebut akan membuat panggilan kepada pelanggan sebagai salah satu cara untuk mempromosikan perjudian atas talian dengan menggunakan aplikasi dan laman sosial seperti whatsapp, telegram, wechat, skype dan juga facebook.
Katanya, berdasarkan rekod dan transaki yang disemak, siasatan awal mendapati ketiga-tiga pusat berkenaan telah beroperasi antara tiga hingga enam bulan.
“Jumlah keseluruhan hasil aktiviti dari ketjga-tiga pusat berkenaan adalah sebanyak RM 810,000,” kata di sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata, dalam tiga serbuan berkenaan, polis turut berjaya merampas peralatan yang digunakan untuk operasi perjudian haram itu termasuk monitor komputer, unit pemprosesan pusat (CPU), penghala (router) dan modem.
Kesemua suspek kini ditahan untuk tindakan lanjut dan kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka yang jika disabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak melebihi RM50,000 serta hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun dan selain itu hendaklah dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM10,000 bagi setiap mesin judi yang dirampas.
Sementara itu, katanya warga asing yang ditangkap turut disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.
Selain itu, katanya tindakan pemotongan bekalan elektrik dilaksanakan serta merta di premis terlibat sebagaimana peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Ahsmon menegaskan bahawa Op Dadu Khas ini akan diteruskan, malah diperhebatkan bagi membanteraskan aktiviti pwejudian haram itu.
Katanya, aktiviti berkenaan bukan sahaja menyusahkan kehidupan masyarakat yang terlibat, malah merugikan ekonomi negara kerana mengelak pembayaran lesen dan cukai. -UTUSAN ONLINE