SHAH ALAM: Polis belum menerima sebarang laporan mengenai kes tular seorang pemandu Proton Perdana yang berlagak samseng dengan menghalang sebuah kenderaan di Setia Alam di sini, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai imej dan video pemandu lelaki itu di laman Twitter seorang individu pada pukul 4.18 petang kelmarin.
“Siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku di Jalan Setia Gemilang U13/45B berhadapan Apartment Seri Mutiara.
“Menerusi klip video tular itu, ia menunjukkan tindakan pemandu kereta yang berlagak samseng dengan menghalang laluan kereta mangsa,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Jelas beliau, semakan mendapati tiada sebarang laporan polis dibuat mana-mana pihak berhubung kejadian itu setakat ini.
Sehubungan itu, Baharudin meminta orang awam yang mempunyai maklumat supaya tampil membuat laporan di balai polis berhampiran.
Terdahulu, tular sebuah video berdurasi lebih dua minit memaparkan kereta Perdana itu yang didakwa cuba memotong barisan dekat persimpangan lampu isyarat di sekitar jalan berkenaan.
Pemandu yang berkopiah itu kemudian dikatakan bertindak mengejar kenderaan mangsa lalu berhenti dan menghalang laluan sebelum keluar daripada keretanya dan seolah-olah bertindak seperti samseng. -UTUSAN ONLINE








