PETALING JAYA: Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merehatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dengan segera.
Katanya, kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Mencegah Rasuah (JKMR), Tan Sri Rais Yatim bahawa Azam wajar dicutikan sementara siasatan penuh dan bebas dijalankan mengukuhkan gesaan tegas dari pelbagai pihak selama ini.
“Kenyataan tersebut sekali gus mematahkan hujah Azam untuk ‘membersihkan’ nama dengan cuba memperalat institusi Yang di-Pertuan Agong apabila beliau berkata perkhidmatannya hanya boleh ditamatkan oleh Tuanku.
“Perbuatan Azam amat tidak bertanggungjawab kerana cuba mengheret institusi Agong ke dalam masalah dan kemungkinan kesalahan yang dilakukannya. Azam patut tahu lantikan oleh Tuanku tidak memberikan sebarang kekebalan undang-undang daripada kesalahan yang dilakukan,” katanya dalam kenyataan.
Kenyataan itu dikeluarkan secara bersama oleh Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Setiausaha Agung Amanah, Datuk Dr. Hatta Ramli, Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke dan Setiausaha Agung UPKO, Nelson Anggang.
Oleh itu, Majlis Setiausaha PH berpandangan bahawa tiada pilihan lagi untuk Azam selain bercuti sehingga selesai kesemua siasatan terhadap beliau.
“Sekiranya beliau enggan, kami menggesa Perdana Menteri mendengar pandangan kesemua pihak yang telah menyuarakan pandangan tentang isu ini, termasuk dari kalangan pemimpin kerajaan dan mengambil tindakan tegas merehatkan Azam.
“Kami turut mengingatkan bahawa isu utama di sini ialah tatakelola dan urus tadbir SPRM, dan siasatan penuh wajar dilakukan bukan sahaja terhadap Azam tetapi semua Ketua Pesuruhjaya yang pernah berkhidmat sebelum ini,” katanya.
Oleh demikian, katanya, Perdana Menteri harus berhenti dari melindungi atau membela Azam secara langsung atau tidak.
“Ini kerana Azam, berkemungkinan telah bertukar dari penguat kuasa undang-undang antirasuah kepada seorang pelanggar undang-undang.
“Kami juga menerima baik gesaan pelbagai pihak agar reformasi dan rombakan menyeluruh dibuat terhadap SPRM bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap institusi penting ini, termasuk dengan meletakkan SPRM di bawah Parlimen dan bukan di bawah Perdana Menteri seperti sekarang agar ia boleh menjalankan tugasnya dengan bebas, berperlembagaan dan profesional,” katanya – UTUSAN ONLINE