PM arah Nadma percepat gubal Akta Pengurusan Bencana - Utusan Malaysia

PM arah Nadma percepat gubal Akta Pengurusan Bencana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengarahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) mempercepatkan penggubalan Akta Pengurusan Bencana.

Beliau berkata, penggubalan itu adalah salah satu langkah penyelesaian jangka panjang yang dirangka oleh kerajaan ketika ini.

“Saya telah mengarahkan Nadma mempercepatkan penggubalan Akta Pengurusan Bencana.

“Selain daripada itu, saya selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat akan memanggil mesyuarat yang melibatkan Menteri-Menteri Besar, Ketua-Ketua Menteri, Setiausaha-Setiausaha Kerajaan Negeri serta wakil-wakil kerajaan negeri untuk kita membuat perancangan jangka panjang yang menyeluruh bagi mengatasi masalah banjir,” katanya dalam mesyuarat khas penggal keempat Parlimen Ke-14 di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu katanya, aspek pengurangan risiko bencana (DRR) juga tidak boleh dipandang remeh.

“DRR perlu ditambah baik secara whole of society approach dan diterapkan di dalam segenap aspek meliputi pembangunan, ekonomi, pendidikan, kesihatan dan sebagainya.

“Ini kerana pengurusan bencana adalah urusan semua pihak. Komunikasi, pendidikan dan kesedaran awam merupakan kunci yang perlu dilaksanakan secara berterusan bagi membentuk budaya perkongsian tanggungjawab, termasuk dalam DRR,” katanya.

Selain itu katanya, pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu sentiasa memainkan peranan seperti memastikan saluran longkang monsun khususnya di bandar dan pinggir bandar sentiasa berada dalam keadaan baik dan tidak tersumbat dengan sampah sarap.

“Ini bagi mengurangkan risiko berlakunya banjir kilat yang juga boleh membawa kerugian akibat kerosakan harta benda.

“Saya melihat bencana bukan sahaja daripada aspek kerosakan yang dibawa, tetapi juga daripada sudut positif di mana ia adalah peluang untuk kita belajar, mengambil pengajaran serta iktibar agar kita lebih bersedia dan berdaya tahan terhadap bencana pada masa hadapan,” katanya.

Bagaimanapun katanya, pengurusan bencana adalah tanggungjawab semua pihak dari peringkat komuniti sehinggalah Kerajaan Persekutuan.

“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang memainkan peranan penting dalam menghulurkan bantuan bukan sahaja dari segi kewangan dan material, malah bantuan sokongan psikososial yang sangat diperlukan oleh mangsa banjir untuk bangkit semula dan meneruskan kehidupan.

“Saya amat terharu melihat semangat Keluarga Malaysia yang telah disemai bersama di waktu-waktu sukar ketika ini. Inilah Keluarga Malaysia, keluarga kita,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN