Persatuan Boksing Kelantan pecat Timbalan Presiden, Setiausaha - Utusan Malaysia

Persatuan Boksing Kelantan pecat Timbalan Presiden, Setiausaha

MOHD. Fared Abdul Ghani (empat dari kanan) menunjukkan surat tindakan tatatertib terhadap Timbalan Presiden dan Setiausaha PSBNK di Kota Bharu, Kelantan hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Persatuan Sukan Boksing Negeri Kelantan (PSBNK) menyingkirkan Timbalan Presiden dan Setiausahanya selepas didapati melanggar beberapa peruntukan dalam perlembagaan PSBNK.

Presidennya, Datuk Seri Dr. Mohd. Fared Abdul Ghani berkata, mereka didapati melanggar perlembagaan Fasal 18 (i) dan Fasal 19.4 termasuk didakwa berkonspirasi dengan Persatuan Sukan Boksing Rantau Panjang dan Bachok untuk rampasan kuasa secara tidak sah.

Menurutnya, mereka dipercayai bertindak sebagai perancang utama dalam melaksanakan Mesyuarat Agung Tahunan PSBNK pada 26 Disember 2021 yang secara jelas melanggar perlembagaan persatuan.

“Persatuan Boksing Rantau Panjang dan Bachok merupakan ahli gabungan yang gagal menjelaskan yuran tahunan keahlian, sekali gus menyebabkan penyertaan mereka dalam mesyuarat agung terbatal dan tidak boleh mengundi atau diundi.

“Jawatan kuasa tatatertib PSBNK turut menggantung keahlian kedua-dua persatuan daerah tersebut selama empat tahun dan mereka dilarang mengambil bahagian dalam aktiviti sukan boksing peringkat daerah dan negeri,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib PSBNK, Muhammad Farhan Hamdan.

Mengulas lanjut, Mohd. Fared berkata, Jawatankuasa Tatatertib PSBNK telah menghantar notis tunjuk sebab kepada mereka yang terlibat untuk menjawab dakwaan dikemukakan dalam tempoh tertentu.

“Bagaimanapun, mereka gagal berbuat demikian sehingga menyebabkan hukuman terpaksa dijatuhkan,” katanya.

Berdasarkan rekod, PSBNK kini mempunyai lebih 6,000 ahli yang berdaftar di seluruh Kelantan.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN