KEMAMAN: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu memasang dua perangkap di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Air Putih di sini, susulan ancaman harimau yang menyerang ternakan penduduk.
Pengarahnya, Loo Kean Seong berkata, perangkap itu dipasang semalam selepas menerima laporan daripada kalangan penternak yang kehilangan beberapa ekor lembu dipercayai dibaham haiwan buas tersebut.
“Penternak mendakwa serangan harimau sudah berlaku sejak Julai tahun lalu dengan kes terbaharu pada Disember. Kita turut mengadakan perjumpaan bersama kumpulan penternak di samping Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Ab. Razak Ibrahim bagi berbincang untuk mengatasi isu serangan harimau itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, hari ini.
Bagaimanapun, Kean Seong berkata, pihaknya masih menyiasat sama ada serangan tersebut dilakukan harimau kumbang atau harimau belang, berikutan kegagalan penduduk membuat laporan segera setiap kali kejadian sama berulang.
“Sekiranya penternak membuat aduan segera kita dapat mengesan jenis serangan berdasarkan keadaan bangkai yang ditinggalkan dan tindakan drastik dapat diambil.
“Kita juga sedang menyiasat jumlah sebenar lembu yang diserang dan kita minta penternak serta pekerja ladang agar berhati-hati ketika melakukan aktiviti berkenaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE