BERA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengakui terdapat kelewatan agihan bantuan banjir Keluarga Malaysia kerana memerlukan pengesahan ketua komuniti atau ketua kampung terlibat.
Bantuan itu melibatkan wang tunai RM2,500 untuk pembelian barangan keperluan rumah, baucar tunai RM500 bagi pembelian barangan elektrik dan baucar tunai RM1,000 bagi pembaikan kenderaan yang terkesan banjir.
Selain itu, ia turut melibatkan bantuan tunai sehingga RM5,000 bagi setiap keluarga untuk kerja-kerja pembaikan rumah kepada mangsa banjir yang mengalami kerosakan yang tidak serius.
Perdana Menteri berkata, berhubung bantuan wang ihsan (BWI) RM1,000, ia hampir selesai 100 peratus.
“Lain-lain bantuan banjir kita minta selesai dengan segera. Jika diikutkan saya, memang saya tidak mahu lewat.
“Tapi apabila melibatkan duit kerajaan, ia perlu diaudit dan perlu maklumat terperinci. Jadi bantuan akan sedikit lewat tapi tidak akan terlalu lewat seperti sebelum ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Santunan Kasih Mangsa Banjir di pekarangan Masjid Kampung Guai di sini hari ini.
Ismail Sabri berkata, pemberian bantuan untuk membeli barangan rumah, RM2,500 akan diagihkan bermula minggu depan.
“Bagi rumah rosak akibat banjir yang kurang dari RM5,000 akan menerima tunai, jika lebih daripada RM5,000 akan dinilai oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) ,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Bencana Pusat akan diadakan minggu depan bagi membincangkan secara menyeluruh musibah banjir di negara ini.
“Ini kerana setiap tahun berlaku banjir dan kerajaan perlu berbelanja besar dan kali ini mungkin mencecah RM6 bilion dengan RM1.4 bilion sahaja untuk bantuan tunai secara terus belum termasuk kerosakan.
“Kalau RM6 bilion banyak perkara kita boleh buat untuk kurangkan kesan banjir seperti tebatan banjir, melebarkan atau mendalamkan sungai dan kalau tidak buat kerajaan perlu berbelanja akhirnya menyusahkan rakyat,” jelasnya.- UTUSAN ONLINE