Peniaga sayur maut rempuh muatan treler tercabut, isteri dan anak cedera - Utusan Malaysia

Peniaga sayur maut rempuh muatan treler tercabut, isteri dan anak cedera

KEADAAN van dipandu Che Idris Jusoh selepas merempuh muatan lori treler yang tercabut di persimpangan Plaza Tol Bukit Besi di Dungun hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Seorang peniaga sayur maut selepas van dipandunya merempuh muatan sebuah treler yang tercabut di Kilometer 28.6, Jalan Dungun-Bukit Besi, di persimpangan lampu isyarat Tol Bukit Besi di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.45 pagi, mangsa, Che Idris Jusoh, 70, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala isteri, Nurul Shahfiqah Shahira Mahamood, 26, dan anaknya, Mohd. Dhuha, 5, cedera.

Difahamkan, mangsa dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Dendang ke Pasar Dungun untuk berniaga.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Baharudin Abdullah berkata, nahas berlaku apabila mangsa yang memandu van jenis Nissan Vanette gagal mengelak muatan treler besi buruk yang berada di hadapannya.

Katanya, treler yang dipandu lelaki berusia 30 tahun itu terpisah dengan muatan ketika memasuki lampu isyarat ke arah Bukit Besi sekali gus menyebabkan badan kenderaan berat berkenaan berada dalam kedudukan melintang di tengah laluan.

“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut manakala isteri dan anaknya turut dihantar ke hospital sama bagi menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Baharudin, polis akan melakukan ujian saringan air kencing kepada pemandu treler dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN