Pengusaha ikan sangkar buntu, risau air sungai Pahang berlumpur, makin cetek - Utusan Malaysia

Pengusaha ikan sangkar buntu, risau air sungai Pahang berlumpur, makin cetek

ABD. GHANI Abd. Malek menunjukkan keadaan sungai di Kampung Pangsenam yang dipenuhi selut dan lumpur. – UTUSAN/NORHAFIZAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Pengusaha ikan sangkar di Kampung Pangsenam di sini buntu mengenangkan keadaan air sungai Pahang yang semakin cetek, sekali gus menjejaskan projek ternakan mereka.

Difahamkan, lebih 500 sangkar ikan terjejas akibat fenome­na itu sehingga menyebabkan pengusaha mengalami kerugian akibat kerosakan yang terpaksa ditanggung oleh mereka.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pengusaha ikan sangkar, Abd. Ghani Abd. Malek, 57, berkata, fenomena itu berlaku sejak dua tahun kebelakangan ini di mana kawasan tebing dipenuhi selut dan lumpur mengakibatkan su­ngai berkenaan menjadi cetek.

Katanya, mereka sudah biasa berdepan situasi banjir dan sudah tahu kaedah mengurangkan kerugian dan kerosakan sangkar, namun buntu apabila berdepan dengan masalah su­ngai cetek.

“Ia menyukarkan keadaan kerana bila sungai cetek, kami terpaksa cari sungai yang dalam. Tapi masalahnya, kawasan yang dalam pun sangkar hanya dapat tenggelam separuh sahaja.

“Apabila keadaan ini terjadi, ia bukan sahaja akan merosakkan sangkar ikan kami, malah turun menjejaskan ekosistem ikan-ikan yang kami usahakan ini,” katanya di sini semalam.

Seorang lagi pengusaha, Ahmad Ridzwan Zainudin, 40, pula berkata, kesemua 10 sangkar ikan yang dia usahakan kini tersadai di tebing sungai disebabkan oleh air sungai yang cetek.

Katanya, selain bencana banjir penghujung tahun lalu, aktiviti pam pasir juga dikatakan menjadi antara punca kepada situasi yang dialami sekarang.

“Sekarang ini, semua sangkar saya berada di daratan. Tak boleh nak tolak ke mana dah sangkar sebab kawasan situ semua dah jadi cetek,” katanya.

Menurutnya, dia terpaksa membeli ikan daripada penternak ikan sangkar dari kawasan lain bagi memastikan gerai jualan ikan masih beroperasi sehingga kini meskipun keuntungan tidak seberapa.

Seorang lagi pengusaha, Azhar Abd. Malek, 48, turut berdepan situasi sama dengan difahamkan mereka telah mengadu masalah terbabit kepada pihak berwajib namun sehingga kini tiada tindakan diambil pihak berkenaan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN